KOTA BHARU, 20 Okt - Setiap anggota masyarakat perlu mengambi berat dan menganggap diri mereka sebagai ibu serta bapa kepada anak-anak yatim sebagai usaha mengurangkan bebanan hidup yang dihadapi mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Haji Husam Musa berkata, melalui cara itu anak-anak yatim merasakan mereka sebenarnya tidak keseorangan dalam mengharungi gelombang hidup.
Ia juga dapat merelaikan kesunyian ketika saat-saat menjelang sambutan hari lebaran yang akan tiba tidak lama lagi, katanya di majlis berbuka puasa anjuran pusat membeli belah terbesar di Kelantan, KB Mall petang semalam. Program itu diberi nama Cahaya Ramadan Berkati Syawal.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat menganjurkan program khusus bagi anak-anak yatim bagi berkongsi kegembiraan dengan mereka.
Hampir 100 anak yatim dari Rumah Puteri Harapan, Kota Bharu, diraikan di majlis berbuka puasa itu. Pengurus Nestle Bahagian Kelantan, Ooi Yu Peck berkata, beliau merasa bangga dapat memberi sokongan kepada pengguna-pengguna Islam melalui program tersebut.
Nestle biar pun berkempen untuk meningkatkan pengetahuan orang ramai terhadap produknya, namun tidak lupa membantu mereka yang memerlukan bantuan, katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Haji Mohd Abidin Mohd Zain, Pengurus Kompleks KB Mall, John Lau dan Pengarah Rumah Puteri Harapan, Haji Wan Abdullah Wan Abdul Kadir.
Sementara itu, KB Mall dan FAMA menyediakan sebanyak 60 petak ruang niaga di premis berkenaan kepada peniaga-peniaga tempatan bagi menjual pelbagai kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.//Hrkh