TUMPAT: Pelbagai pendekatan dilaksanakan Kerajaan Pusat bagi memastikan kesejahteraan rakyat Kelantan terutama penduduk miskin yang masih ramai di negeri ini.
Terbaru adalah Program Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) untuk menyalurkan sumbangan barangan makanan kepada keluarga berpendapatan rendah antara RM250 hingga RM350 sebulan menjelang Ramadan baru-baru ini.
Peruntukan itu disalurkan menerusi jabatan dan agensi bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Felcra Bhd (Felcra).
Sejak minggu lalu, tiga agensi itu mengagihkan barangan makanan secara berperingkat kepada lebih 10,000 keluarga miskin di seluruh negeri ini yang berpendapatan bawah RM260 sebulan.
Setiap keluarga menerima bantuan makanan bernilai RM240 iaitu beras sembilan kilogram (kg), gandum (12 kg), sardin (15 tin), kacang hijau (tiga kg), gula (sembilan kg), minyak masak (enam kg), susu tepung (tiga kg), biskut (enam kg), milo (tiga kg) dan behun (sembilan bungkus).
Risda mengagihkan makanan itu kepada keluarga miskin bagi jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Machang, Kesedar membabitkan penduduk di Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah manakala Felcra bagi jajahan Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu.
Seorang penerima bantuan PTMS, Kamal Baharin Ibrahim, 42, berkata bantuan itu memberi peluang kepada lima anaknya yang masih kecil menikmati makanan berzat.
Beliau menghargai keprihatinan Risda mengambil berat penderitaan dan kesusahan keluarganya yang dihimpit kemiskinan, lebih lagi dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan.
Sekurang-kurangnya makanan yang saya terima ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerana pendapatan yang ada boleh digunakan untuk menampung persekolahan anak, katanya.
Seorang lagi penerima, Mahadi Mohamad, 40, berkata beliau akan menggunakan makanan yang diagihkan itu sebaik mungkin termasuk sebagai bekalan sepanjang Ramadan.
Ketika majlis penyampaian PTMS di Tumpat baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar, berkata di jajahan itu, ada kira-kira 3,098 keluarga miskin dan paling ramai di negeri ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 1,867 dikategorikan sebagai miskin tegar yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri pimpinan Pas.
Bantuan ini adalah daripada Kerajaan Pusat yang disalurkan menerusi beberapa kementerian berkaitan dengan tanggungjawab memaju dan membangunkan rakyat miskin.
Kerajaan negeri tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab membantu rakyat miskin kepada Barisan Nasional (BN) 100 peratus kerana BN dan Umno bukan kerajaan yang memerintah, katanya.
Adun Wakaf Bharu, Mohd Rosdi Abdul Aziz, berkata keluarga miskin paling ramai di jajahan Tumpat berada dalam kawasan DUN Wakaf Bharu iaitu antara jajahan termiskin di Kelantan.
Beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak akan membiarkan rakyat terus hidup terhimpit dalam apa keadaan sekali pun dan akan berusaha menangani masalah itu sebaik mungkin.
Dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakyat, kita menganggap ia tugas kerajaan kerana nasib rakyat miskin tetap dibela. Kita melihat banyak kementerian terbabit melaksanakan program membasmi kemiskinan.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah umpamanya melaksanakan program untuk rakyat desa seperti menyediakan makanan berzat bagi kanak-kanak dan program bekalan air bersih di kawasan luar bandar, katanya.
Beliau berkata, keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan yang banyak untuk membela nasib rakyat termiskin membuktikan tiadanya sikap pilih kasih.
Timbalan Pengarah Risda Kelantan, Abdul Rahim Hamzah, berkata pihaknya akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bagi memastikan usaha membantu rakyat termiskin tercapai.
Katanya, penekanan bantuan dan program tidak hanya berpusat kepada bantuan kebendaan saja, tetapi turut mementingkan usaha menyedarkan golongan miskin meningkatkan usaha dan menjaga kesihatan.
Hasil bancian kemiskinan terbaru bagi kawasan kendalian Risda ialah hampir 4,000 keluarga miskin yang berpendapatan purata antara RM250 hingga RM500 sebulan.
Dengan pendapatan begitu, mereka tidak mampu menyara keluarga atau membeli bahan makanan berzat walaupun bertungkus lumus bekerja mendapatkan sumber kewangan, katanya.
FAKTA
Program Tambahan Makanan Seimbang
-Bantuan diberi - beras, gandum, sardin, kacang hijau, gula, minyak masak, susu tepung, biskut, milo dan bihun.
-Penduduk sasaran berpendapatan RM250 hingga RM350 sebulan.
-Agensi pelaksana di Kelantan - Risda, Kesedar, Felcra.
//Bha 21 Okt
Yahoo! FareChase - Search multiple travel sites in one click.
SPONSORED LINKS
| Florist malaysia | Malaysia hotel | Kelantan |
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "perakan" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
