KOTA BAHARU, 14 Nov -- Perjanjian persefahaman antara pucuk pemimpin Umno dan PAS mengenai kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sekarang perlu dihormati oleh semua pihak, kata Speaker Wan Abdul Rahim Wan Abdullah hari Isnin.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah bersetuju dengan senario DUN itu. "Mereka mencapainya dalam perbincangan empat mata dan (berikutan itu) masing-masing bersetuju menggugurkan petisyen pilihan raya oleh parti masing-masing mengenai DUN Kelantan selepas pilihan raya umum 2004, di Kuala Lumpur," katanya di sidang akhbar di Kota Darulnaim di sini. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa dari segi moral kerajaan PAS Kelantan wajar membubarkan DUN jika mereka tewas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir 6 Dis ini. Timbalan Presiden Umno itu berkata sekalipun tiada paksaan untuk membubarkan dewan jika Barisan Nasional (BN) menang, PAS sepatutnya menyerahkan kembali kepada rakyat bagi menentukan pemerintahan di Kelantan. Sehubungan itu Abdul Rahim berkata ini bermakna pucuk pimpinan Umno telah mengiktiraf dengan apa juga keadaan walaupun mungkin PAS memperolehi majoriti satu kerusi iaitu PAS 23 dan BN 22. Katanya berdasarkan perkembangan itu adalah tidak wajar mana-mana pihak membuat desakan seperti itu kepada PAS yang memerintah Kelantan sekarang. Abdul Rahim berkata Najib tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak politik murahan pemimpin Umno Kelantan yang mahukan pembubaran itu. Mengenai soal maruah beliau berkata rakyat Kelantan telah membuat keputusan bahawa bagi DUN mereka mahukan PAS terus memerintah Kelantan manakala peringkat Parlimen mereka membuat pilihan BN yang patut menjadi wakil mereka. Katanya, ini berdasarkan kepada keputusan beberapa kawasan termasuk di Bachok kerusi Parlimen dimenangi BN manakala dua dari tiga DUN dalam kawasan itu dimenangi PAS. Tegasnya keadaan itu juga berlaku di Kota Baharu dan di Machang. Beliau berkata soal pembubaran DUN bukan perkara mudah. Ia membabitkan perkenan Sultan Kelantan.//Bernama Sementara itu, Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa menyifatkan cadangan Dato' Seri Najib Razak supaya Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya BN memenangi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir seumpama 'belum duduk sudah bersila'. Beliau berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak wajar bahkan juga kurang beradab kerana keputusan pilihan raya belum diketahui lagi. "Jangankan nak dapat keputusan pilihan raya, penamaan calon pun belum lagi, jadi tak perlulah nak bangkitkan perkara ni, nampak sangat kita tamak kuasa dan nak kerusi," ujarnya kepada pemberita hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang meminta supaya kerajaan Kelantan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya peringkat negeri jika PAS kalah di Dun Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini. Najib dilaporkan berkata, walaupun pembubaran DUN bukan wajib mengikut perlembagaan namun dari segi moral, PAS berkewajipan memberi peluang kepada rakyat Kelantan menyuarakan pandangan melalui pilihan raya negeri. Husam yang anggota Exco kerajaan negeri berkata, kenyataan sedemikian tidak wajar dibuat oleh seorang pemimpin utama negara. "Boleh jadi PAS yang menang dalam pilihan raya itu dan sekiranya PAS menang adakah Najib bersedia melepaskan jawatannya," katanya. Katanya juga, keputusan pilihan raya kecil itu tidak boleh dijadikan gambaran sebenar hasrat rakyat negeri ini kerana PAS terpaksa berhadapan dengan pelbagai kepungan, ugutan dan jentera kerajaan. Menurutnya juga, kenyataan Najib sedemikian menggambarkan parti itu tamak kuasa. "Umno tidak seharusnya berebut untuk menambah jumlah kerusi semata-mata sekiranya 21 kerusi yang dimenangi mereka belum dibuat sebarang tindakan pembangunan. "Cuba berikan contoh pembangunan yang dibuat dalam Parlimen Bachok, sedangkan di situ terdapatnya seorang Timbalan Menteri. Bukan itu sahaja, seorang mangsa hempakan replika menara berkembar dari Bachok yang meninggal, apa bantuan yang diberikan mereka, kerajaan negeri juga yang hulurkan, jadi apa ertinya jika hanya ingin menambahkan jumlah kerusi semata-mata," ujarnya. Katanya, apa yang penting sekarang mereka hendaklah memajukan terlebih dahulu 21 DUN yang telah mereka menangi sebelum meminta kerajaan negeri membubarkan Dewan.//Hrkh ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
