KOTA BAHARU, 20 Nov -- Bahang pilihan raya kecil Dewan Undangan 
Negeri (DUN) Pengkalan Pasir 6 Dis depan mula terasa di sekitar 
bandar Pasir Mas dengan kain rentang yang tertera slogan propaganda 
parti bertanding dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengunjung-
pengunjung luar termasuk jentera parti, pemerhati politik dan 
wartawan.

Kain rentang dan sepanduk yang berbunyi: `Era Pak Lah Kelantan 
Berubah', `Undilah Barisan Nasional: Kepimpinan Berwibawa Rakyat 
Terbela' dan `Kekalkan kepimpinan Ulama' kelihatan di sepanjang Jalan 
Pasir Pekan menuju ke bandar Pasir Mas bermula dari Kg Tal Tujuh, 
kira-kira 6 km dari bandar kedua terbesar di Kelantan itu.

Kalau sebelum ini Pasir Mas dipanggil `Bandar Hantu', nama jolokan 
itu sudah tidak relevan lagi.

Bandar itu sudah berubah wajah dengan kedai-kedai makan dan kedai 
buah-buahan berdekatan Stesen Keretapi Pasir Mas sibuk melayan 
pelanggan walaupun selepas pukul 9 malam. Kedai-kedai runcit yang 
sebelum ini ditutup seawal 8 malam dibuka hingga lewat malam.

Pos-pos di kawasan Banggol Chicha, Kubang Badak, Kubang Bemban, 
Kampung Bharu, Kampung Dangar, Pengkalan Pasir, Jalan Pasir Pekan, 
Sakar, Slow Machang dan Kasa sentiasa terang dan meriah dengan 
aktiviti jentera parti terutamanya golongan muda yang kelihatan sibuk 
bertugas.

Walaupun hari penamaan calon jatuh pada 27 Nov dan hari pengundian 
pada 6 Dis depan, Pengkalan Pasir sudah tidak putus-putus dengan 
majlis ceramah atau kempen tidak rasmi bagi menarik perhatian 18,411 
pemilih di kawasan itu termasuk 195 pengundi pos.

"Alhamdulillah rezeki bertambah, ramai orang (pelanggan) dah," kata 
seorang pemilik kedai makan di Pasir Mas Harun Daud, 42.

Dun N.12 Pengkalan Pasir terletak di bawah parlimen Pasir Mas selain 
Dun Tendong dan Dun Chetok, kedudukannya adalah bersempadanan dengan 
tebing Sungai Kelantan di selatan, Dun Meranti (Parlimen Rantau 
Panjang) di utara dan DUN Tendong di timur.

Pengkalan Pasir dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara 
BN, Pas dan calon bebas, Datuk Ibrahim Ali yang juga bekas Ketua Umno 
Bahagian Pasir Mas yang dipecat dari parti kerana menentang calon BN 
pada pilihan raya umum lalu juga atas tiket bebas.

Pada pilihan raya umum itu Ibrahim bertanding sebagai calon bebas 
merebut kerusi parlimen Pasir Mas dan mendapat 6,198 undi. Ismail Nuh 
dari Pas yang memperolehi 17,526 undi mengalahkan calon BN Datuk 
Abdul Rahim Abdul Rahman yang mendapat 16,275 undi.

Pemerhati politik berpendapat kehadiran Ibrahim akan memecahkan undi 
Pas dan BN terutamanya BN berdasarkan undi ahli Umno (Dun Pengkalan 
Pasir) yang diberikan kepada bekas ketua Umno Bahagian Pasir Mas bagi 
parlimen itu pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno seperti Naib Presiden Datuk Seri 
Mohd Ali Rustam tetap yakin pertandingan tiga penjuru itu tidak akan 
menjejaskan peluang BN untuk menang berdasarkan kepada perkembangan 
politik semasa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Ketua Menteri Melaka itu berkata beliau yakin sokongan dan simpati 
terhadap Ibrahim sudah berubah berbanding dua tahun lepas dan rakyat 
Kelantan sudah tahu menilai sumbangan Umno dalam membela nasib mereka.

Sementara itu Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak 
kelmarin berkata walaupun beliau optimis peluang BN untuk menang 
adalah cerah, jentera parti perlu bekerja lebih kuat dalam meraih 
sokongan rakyat di kawasan itu.

Dalam lawatan keduanya itu Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri 
menasihatkan pengundi Pengkalan Pasir supaya tidak memandang mudah 
pilihan raya yang beliau sifatkan akan menentukan masa depan negeri 
itu seperti yang tergambar pada kain rentang `Undilah BN untuk: 
Agama, Bangsa dan Negara, Pembangunan, Perubahan dan Masa Depan'.

Sejarah politik Kelantan jelas menunjukkan bahawa Pengkalan 
Pasir/Pasir Mas merupakan kawasan yang menjadi rebutan antara Pas dan 
Umno silih berganti.

Pada 1974 Pas menguasai Dun itu yang dikenali dengan nama Bandar 
Pasir Mas. Suasana politik berubah selepas darurat 1978 apabila BN 
menguasai kawasan itu pada pilihan raya 11 Mac 1978 dan mengekalkan 
kuasanya selama 12 tahun. Bagaimanapun, Pas menduduki kerusi itu 
semula pada pilihan raya umum 1990 sehingga sekarang.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat Pas, 
Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Okt lalu akibat kanser hati. Wan 
Abdul Aziz menewaskan calon BN Hanafi Mamat dengan kelebihan 56 undi.

Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya Prof Dr 
Hussein Mohamad dalam analisisnya dilaporkan sebagai berkata 
kedudukan kerusi Pengkalan Pasir adalah penting, kritikal dan menjadi 
penentu kepada masa depan politik Pas dan BN di Kelantan.

Ini kerana Pengkalan Pasir adalah antara 24 kawasan daripada 45 
kerusi Dun Kelantan yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum lalu 
manakala 21 kerusi lagi dikuasai BN.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa 
sebelum ini menyifatkan kerusi Pengkalan Pasir sebagai titik 
perubahan penting dalam sejarah politik negeri ini sekiranya rakyat 
memilih BN dan ia merupakan isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan.

Annuar berkata jika BN menang maka parti itu kurang satu kerusi 
berbanding Pas yang membentuk kerajaan negeri secara goyah dan tidak 
kukuh maka secara moralnya, Dewan Undangan Negeri harus dibubarkan 
bagi memberi laluan kepada pilihan raya baru.

Manifestasi Annuar itu jelas tertera pada billboard BN berdekatan 
dengan di Sekolah Kebangsaan Mekasar, Pasir Mas yang memaparkan wajah 
beliau dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan 
seloka tempatan berbunyi;

"Tum... tum... tumbok... tum tumbok... mok ayam didik... pecah 
sebutir... pecah semua...(sekiranya BN menang di Pengkalan Pasir maka 
BN berpeluang untuk menguasai Kelantan)".//Bernama








------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
1.2 million kids a year are victims of human trafficking. Stop slavery.
http://us.click.yahoo.com/WpTY2A/izNLAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke