KOTA BAHARU, 20 Nov - Musim tengkujuh yang melanda Kelantan sejak akhir Oktober kini membawa hujan yang kadangkala lebat, kadangkala renyai berpanjangan hingga mencetuskan rasa cemas penduduk.
Keadaan ini mengingatkan mereka kepada banjir besar melanda Kelantan tahun lepas - pertama seumpamanya sejak lebih 20 tahun yang menyebabkan puluhan ribu penduduk berpindah dan belasan nyawa terkorban. Bagaimanapun, pihak terlibat terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tahun ini nampaknya lebih bersedia menghadapi kemungkinan banjir. Tengkujuh biasanya bermula pada akhir Oktober dan berlarutan hingga awal Januari tahun berikutnya. Pengarah JPS negeri, Ir. Lim Chow Fook berkata JPS kini sedang dan telah mengambil beberapa langkah sebagai persediaan menghadapi banjir di Kelantan. Antaranya melengkap tujuh stesen curahan di beberapa bahagian negeri ini dengan sistem telemetri atau sistem bacaan jumlah hujan berkomputer. "Begitu juga dengan stesen memantau paras air sungai. Sebanyak lapan daripada 14 stesen dilengkapi sistem telemetri yang memberikan bacaan paras air serta merta," katanya. Beliau tidak menolak kemungkinan banjir besar seperti tahun lepas akan berulang tahun ini. "Jika dilihat keadaan sekarang ini, musim hujan sudah bermula. Mujurlah bacaannya masih di bawah 50mm. Jika hujan lebat dalam masa beberapa hari atau melebihi 50mm, kita khuatir banjir akan berlaku. Tapi kita amat berharap ia tidak seperti yang berlaku tahun lepas," katanya kepada Bernama. Kelantan menerima hujan antara 2,300mm hingga 2,700mm setahun. Bagaimanapun, katanya, jumlah hujan yang dicatat sejak awal tahun sehingga Okt adalah sebanyak 1,700mm. "Jadi ada kemungkinan jumlah hujan yang dicatat dalam tempoh dua bulan (Nov dan Dis) mencecah 600 hingga 1,000mm lagi. Hujan dah mula namun masih dalam jumlah yang sedikit-sedikit. Kita harap ia kekal begitu dan tidak turun dalam jumlah yang banyak sekaligus," katanya. Lim berkata sebagai persediaan, pihaknya membaiki sistem perparitan dan saluran JPS di seluruh negeri bagi memastikan ia tidak tersumbat dan air dapat mengalir dengan baik. Menurutnya, jika bacaan hujan meningkat, JPS akan memulakan aktiviti pemantauan paras air di sungai-sungai tiga kali sehari. Selain itu, katanya, JPS juga akan memasang papan tanda amaran banjir di beberapa lokasi yang berisiko tinggi. Terdapat 12 kawasan yang dikategorikan berisiko tinggi di seluruh negeri, antaranya Dabong, Kuala Krai dan beberapa tempat di Kota Baharu. Pemantauan berterusan akan dibuat dan sekiranya banjir berlaku dan paras air mencecah tahap waspada, JPS akan segera membuka bilik gerakan. "Pada masa itu juga JPS akan memaklumkan keadaan itu kepada Jabatan Keselamatan Negara untuk tindakan lanjut dan menyebarkan maklumat mengenai keadaan terkini termasuk paras air sama ada pada paras amaran, waspada dan bahaya, dari masa ke semasa menerusi radio dan media lain," katanya. "Pemasangan siren untuk tujuan pemindahan penduduk akan diteruskan. Ada cadangan untuk memasang belon besar di udara untuk bagi tahu orang ramai mereka perlu pindah bila belon dinaikkan, namun mungkin sesetengah tempat tak nampak dengan jelas, kita tidak teruskan rancangan itu," katanya. Beliau berkata, seramai 100 kakitangan JPS Kelantan kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir. "Walaupun sekarang ini musim perayaan, kita harap orang ramai peka dan berjaga-jaga dengan sebarang perubahan cuaca dan bersedia dengan kemungkinan berlakunya banjir." "Orang ramai yang ingin mendapat maklumat terkini boleh layari laman web JPS di http://www.infobanjir.water.gov.my atau hubungi bilik gerakan berdekatan yang akan dibuka sekiranya air sungai mencecah paras waspada," katanya//Bernama ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 1.2 million kids a year are victims of human trafficking. Stop slavery. http://us.click.yahoo.com/WpTY2A/izNLAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
