KOTA BHARU: Sekurang-kurangnya 40 keluarga penduduk Kampung Pantai Dasar Sabak dekat sini, terpaksa meninggalkan perkampungan itu selepas rumah mereka musnah dipukul ombak besar dan angin kencang malam kelmarin.
Lebih 20 rumah yang didiami mangsa, kebanyakan diperbuat daripada kayu dan separuh kekal itu dipenuhi pasir dan dimasuki air laut dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu. Mereka kini terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat kerana air laut dijangka pasang berikutan tiupan angin kencang yang melanda negeri Pantai Timur sejak petang kelmarin. Suri rumah, Siti Rahmah Ibrahim, 45, berkata kejadian itu berlaku mulai jam 7 sehingga 8 malam apabila tiba-tiba air laut melimpah memasuki rumahnya sedalam kira-kira 1.2 meter. "Seluruh penduduk kampung panik menyelamatkan harta benda masing- masing kerana bimbang dihanyutkan ombak yang melanda kampung ini, manakala angin kencang menerbangkan bumbung rumah," katanya. Beliau dikunjungi Bendahari Pergerakan Wanita Umno, Senator Datuk Azizah Samad, yang meninjau kampung itu sebaik menerima maklumat semalam. Turut hadir Ketua Wanita Umno Kelantan, Wan Hazani Mohammad Nor. Azizah meluangkan masa lebih dua jam untuk melihat sendiri keadaan rumah penduduk terbabit. Peniaga runcit, Che Hashim Che Min, 50, berkata kedainya yang terletak kira-kira lima meter dari tepi laut turut terdedah kepada bahaya. "Saya dan isteri serta 14 anak kami terpaksa berjaga sehingga jam 3 pagi ini (semalam) kerana bimbang rumah kami dihanyutkan apabila laut bergelora serta ribut," katanya. Penduduk, Ibrahim Salleh, 74, berkata dia bersama isterinya Mek Yah, berada dalam ketakutan ketika kejadian angin kencang dan ombak besar melanda malam kelmarin. "Setiap kali menjelang tengkujuh, perasaan takut menyelubungi hidup kami kerana angin kencang dan ombak besar, tetapi kami tidak mampu berpindah ke kawasan lain. "Kerajaan negeri sebelum ini pernah berjanji menyediakan tempat tinggal sementara bagi membolehkan kami berpindah, tetapi sehingga kini janji itu tidak dikotakan," katanya. Azizah berkata, Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya lebih prihatin terhadap masalah penduduk kampung terbabit yang selama ini terdedah kepada ancaman angin kencang dan ombak besar. "Sudah 15 tahun Pas memimpin negeri ini, tetapi tiada perubahan dan tidak mengambil perhatian dengan memberi bantuan kepada penduduk di sini yang kebanyakannya keluarga miskin," katanya yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa yang dilawatinya. Beliau juga menggesa rakyat Kelantan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) kembali memerintah negeri ini supaya pelbagai masalah rakyat dapat diatasi. "Walaupun ini bukan kawasan pilihan raya, saya yang berada di Pengkalan Pasir, bergegas ke sini untuk menemui mangsa sebaik mendengar kejadian yang berlaku malam tadi," katanya.//Bha 21 Nov ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
