Hilang kelayakan bertanding -- ADUN Kelantan letak jawatan tanpa sebab tidak boleh jadi calon 5 tahun Oleh: SYAHRIL A. KADIR
KUALA LUMPUR 21 Nov. - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan, yang sedang cabar mencabar supaya masing-masing meletakkan jawatan, akan hilang kelayakan bertanding untuk lima tahun jika mereka melakukannya tanpa sebab. Bagaimanapun isu hilang kelayakan tersebut tidak timbul jika Sultan Kelantan bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia selaras dengan undang-undang negeri berkenaan yang juga selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan menyebut, seseorang yang meletakkan keahliannya dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh peletakan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat. ``Mungkin orang ramai akan kata itu hanya di Parlimen, tetapi saya rujuk pada penasihat undang-undang kita (SPR) mengenai perkara itu dan beliau mengakui yang Kelantan pun memakai peraturan yang sama. ``Dalam erti kata lain, dalam keghairahan masing-masing hendak meletak jawatan, para wakil rakyat ini harus sedar risiko yang terpaksa mereka tanggung akibat daripada tindakan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Beliau menjelaskan demikian ketika diminta mengulas cabar mencabar antara Pas dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir 6 Disember ini. Ia termasuk hasrat 21 wakil rakyat BN semalam yang bersetuju menghantar surat peletakan jawatan masing-masing bagi menyahut cabaran Exco Kerajaan Kelantan, Husam Musa berhubung perkara itu, berkuat kuasa 1 Disember ini. Bagaimanapun Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata, surat itu hanya sah dan berkuat kuasa jika kesemua 23 wakil rakyat Pas turut melakukan tindakan yang sama pada tarikh tersebut. Isu peletakan jawatan tersebut tercetus apabila pada 15 November lalu, Husam mencabar semua 21 wakil rakyat BN melepaskan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk mengukur kekuatan kedua- dua parti. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat Pas, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu kerana kanser hati. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Hanafi Mamat dengan majoriti 56 undi. Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, jika Sultan Kelantan yang bertindak membubarkan dewan, isu hilang kelayakan tersebut tidak timbul. ``Kalau Tuanku Sultan bubarkan dewan, itu soal lain. Tetapi kalau saja-saja hendak letak jawatan maka masing-masing terpaksalah berhadapan dengan risiko hilang kelayakan bertanding. ``Saya harap semua pihak terutama wakil rakyat supaya merujuk pada undang-undang sebelum membuat sebarang tindakan kerana silap percaturan ia hanya boleh merugikan mereka,'' katanya.//UM ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
