KOTA BHARU 21 Nov. - Dua beradik mati lemas setelah terjatuh dalam 
lubang tangki najis yang sedang dibina ketika bermain di belakang 
rumah jirannya di Kampung Batu 2, Lorong Masjid Padang Bongor, Jalan 
Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Mayat kedua-dua beradik itu, Nor Aini Mohd. Zain, 7, dan abangnya 
Solleh, 9, ditemui kira-kira tiga meter dalam lubang tangki yang 
dipenuhi air kerana hujan lebat petang semalam.

Mayat Nor Aini ditemui oleh penduduk kampung kira-kira pukul 5 
petang, sementara mayat abangnya ditemui anggota bomba yang membantu 
usaha mencari dan menyelamat mangsa kira-kira dua jam kemudian.

Menurut ibu mangsa, Zaimah Ab. Halim, 40, kedua-dua anaknya itu 
keluar rumah kira-kira pukul 3 petang bermain di kawasan berhampiran 
rumah.

``Saya menasihatkan mereka supaya jangan bermain jauh-jauh kerana 
saya tidak sihat setelah menjalani pembedahan perut sewaktu beranak 
anak sulung dulu,'' katanya sambil menitiskan air mata.

Dia kemudiannya keluar mencari anak-anaknya itu kira-kira pukul 4 
petang setelah mendapati mereka tiada di rumah.

Bagaimanapun katanya, usaha tersebut gagal lalu beliau memberitahu 
jiran-jiran bagi mendapatkan bantuan jika ternampak kedua-dua anaknya.

``Kemudian, saya diberitahu Nor Aini dan Solleh lemas ketika bermain 
di belakang rumah seorang jiran,'' katanya sebak.

Zaimah ibu tunggal warganegara Kemboja memberitahu, Nor Aini dan 
Solleh merupakan anak hasil perkahwinan keduanya dengan Mohd. Zain 
juga seorang warganegara Kemboja.

Dia mempunyai tiga lagi anak hasil perkahwinan pertama.

Bagaimanapun, suaminya telah menghilangkan diri dipercayai berkahwin 
lain dan sejak itu dia tinggal tiga beranak di sebuah rumah sewa di 
kampung tersebut lebih sebulan lalu.

Sementara itu, seorang penduduk, Ridzuan Abdul Rahman berkata, beliau 
dengan dibantu oleh seorang rakannya menyelam ke dalam lubang tangki 
najis itu mencari kedua-dua beradik itu setelah dimaklumkan oleh 
sekumpulan kanak-kanak yang mereka ternampak mangsa bermain di 
kawasan berkenaan.

``Dengan menggunakan tali yang diikat pada badan, saya telah menyelam 
ke dalam lubang tersebut dan meraba-raba maka terjumpa mayat Nor Aini.

``Dengan dibantu rakan, saya terus menarik mangsa keluar. Ketika itu 
nadinya masih bergerak dan saya cuba kejarkannya ke Hospital Raja 
Perempuan Zainab II dengan kereta Kancil bagi mendapatkan bantuan 
kecemasan, tetapi mangsa gagal diselamatkan,'' katanya.

Beliau yang terkilan dengan peristiwa itu berkata, mayat Solleh 
bagaimanapun gagal ditemui kerana dikatakan tenggelam di dasar lubang 
tangki itu.

Mayat kanak-kanak lelaki itu kemudiannya berjaya ditemui oleh anggota 
bomba yang datang memberikan bantuan kira-kira pukul 7 petang. 

Mayat kedua-dua beradik itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di 
kampung berkenaan tengah hari ini.//UM






------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Fair play? Video games influencing politics. Click and talk back!
http://us.click.yahoo.com/u8TY5A/tzNLAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke