PASIR MAS 22 Nov. - Pemimpin BN dan Pas Kelantan hari ini bersetuju untuk menamatkan episod cabar mencabar mengenai peletakan jawatan wakil rakyat masing-masing dan menumpukan sepenuhnya kepada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.
Ketika ditemui secara berasingan di sini, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa menegaskan, demi kebaikan semua serta mengelakkan polemik berpanjangan isu cabar mencabar itu perlu ditamatkan. Annuar berkata, pihaknya membuat keputusan tersebut setelah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Husam kelmarin menegaskan kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN Kelantan. Beliau berkata, pihaknya tidak lagi berminat membincangkan isu itu kerana ingin menumpukan kepada gerak kerja pilihan raya serta bertemu dengan rakyat dan kenyataan sebelum ini hanya semata-mata bagi menjawap cabaran dibuat oleh Husam. ``Kita tidak akan meneruskan cadangan menghantar surat kepada Nik Abdul Aziz dan Husam mengenai peletakan jawatan ini setelah mendapat jawapan daripada Menteri Besar bahawa DUN tidak akan dibubarkan. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Kelab Ahli-Ahli Parlimen Malaysia di Peti Undi Kasa di sini. Annuar mengulas peringatan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menegaskan, semua wakil rakyat Kelantan akan hilang kelayakan bertanding untuk lima tahun jika mereka melakukannya tanpa sebab. Ia selaras dengan Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, seseorang yang meletakkan keahliannya dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh peletakan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat. Peraturan itu bukan sahaja melibatkan ahli Parlimen tetapi juga semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Isu cabar mencabar ini mula tercetus apabila pada 15 November lalu, Husam mencabar 21 wakil rakyat BN melepaskan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk mengukur kekuatan kedua-dua parti. Berikutan tindakan Husam itu, Annuar pada Ahad lalu menegaskan, 21 ADUN bersedia meletakkan jawatan dengan syarat kesemua 23 wakil rakyat Pas turut membuat tindakan yang sama. Ia menjadi `semakin panas' apabila Annuar dalam kenyataan terbarunya kelmarin menegaskan, 21 wakil rakyat BN bersetuju untuk menghantar surat peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa mulai 1 Disember ini bagi menyahut cabaran Husam dan ia hanya sah jika wakil rakyat Pas juga berbuat demikian. Annuar berkata, keputusan menghentikan perbuatan cabar mencabar tersebut tidak ada kaitan dengan kenyataan SPR tersebut kerana cadangan itu sebelum ini dibuat dengan sebab yang amat besar kerana kerajaan negeri sudah hilang kepercayaan rakyat. Dalam reaksinya hari ini, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa berkata, Pas menganggap isu berkenaan sudah pun selesai dan parti itu kini hanya akan memberi tumpuan penuh kepada pilihan raya kecil tersebut. ``Bagi Pas kita sudah `tutup buku, bagaimanapun terserahlah kepada wakil rakyat BN untuk menentukan sama ada hendak meletakkan jawatan atau tidak serta bersedia menerima risikonya akibat tindakan itu,'' katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Warga Emas, Hari Kanak- Kanak Sedunia dan Hari Raya Aidilfitri 2005 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu. Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, ketika mencabar wakil rakyat BN meletakkan jawatan beliau sememangnya mengetahui undang- undang SPR tersebut tetapi sekadar ingin mengetahui sama ada Annuar `teliti atau tidak' ketika menyahut cabarannya. ``Apa pun saya fikir semuanya sudah selesai, kita akan beri tumpuan kepada pilihan raya kecil berkenaan,'' katanya.//UM ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
