TUMPAT, 20 Jun – Pesta Wau Kelantan Asean kini semakin mendapat 
sambutan menggalakkan peserta luar negara apabila tahun ini ia turut 
disertai pasukan dari Denmark.

Pesta wau yang menjadi acara tahunan itu diadakan sejak 1982 
merupakan salah satu aktiviti penting sektor pelancongan di Kelantan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan 
Masyarakat, Dato' Anuar Tan Abdullah berkata, sambutan tahun ini amat 
menggalakkan dan ia disertai pasukan dari Singapura, Thailand, 
Indonesia dan Brunei.

"Malah yang amat membanggakan kita apabila pasukan jemputan dari 
Eropah iaitu Denmark sudi hadir menyertai pesta kali ini," katanya 
pada perasmian Pesta Wau Asean 2006 di Pantai Seri Tujuh, baru-baru 
ini.

Sebanyak 23 pasukan yang melibatkan seramai 163 peserta menyertai 
pesta tahun ini.

Anuar Tan berkata, pasukan Denmark turut membawa bersama unit 
dokumentari bagi merakamkan pesta wau untuk dijadikan bahan kajian 
kebudayaan untuk generasi akan datang.

"Berdasarkan sambutan ini kerajaan negeri yakin program pesta wau  
mampu menjadi satu agenda penting menarik pelancong berkunjung ke 
Kelantan, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007.

"Sempena sambutan itu kerajaan negeri merancang pelbagai aktiviti 
kebudayaan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke sini," kata 
beliau.

Tambah beliau juga, kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan 
Pelancongan (TIC) akan mengadakan kerjasama dengan persatuan 
kebudayaan dan kesenian bagi memeriah lagi pesta wau tahun depan. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yaakob berkata, 
dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan di Kelantan tidak 
pernah menghalang aktiviti kebudayaan diadakan selagi ia tidak 
bertentangan dengan syariat.

"Islam sebagai sebuah agama yang syumul mencakupi semua aspek 
kehidupan dan fitrah manusia sememangnya tidak pernah menyekat naluri 
manusia untuk mencari ketenangan melalui aktiviti kebudayaan.

"Malah ia diharuskan dalam Islam selagi sesuatu permainan atau 
hiburan itu tidak bertentangan dengan syariat," katanya pada 
perasmian penutup pesta wau tersebut. 

Johan keseluruhan pertandingan itu disandang pasukan dari Terengganu. 
Pelbagai aktiviti diadakan sempena pesta terbabit antaranya 
pertandingan mewarna pelajar, menangkap itik, bangkel wau peringkat 
sekolah, pertunjukan gajah dan cabutan nombor bertuah.//Hrkh








------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Something is new at Yahoo! Groups.  Check out the enhanced email design.
http://us.click.yahoo.com/SISQkA/gOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke