KOTA BAHARU, 26 Jun -- Kerajaan Kelantan pimpinan PAS akan memberi 
ganjaran RM10,000 kepada orang Islam, khususnya pendakwah, yang 
berkahwin dengan Orang Asli dalam usaha meningkatkan usaha dakwah di 
kalangan masyarakat itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah Kelantan Hassan 
Mahmood berkata kerajaan negeri juga menyediakan tempat tinggal 
kepada mereka di perkampungan Orang Asli terutama di Gua Musang dan 
Jeli bagi memudahkan mereka menjalankan kegiatan dakwah.

"Usaha ini dibuat kerana kerajaan tidak puas hati dengan pencapaian 
dakwah (dalam kalangan Orang Asli) setakat ini kerana data 2005 
menunjukkan hanya 2,094 Orang Asli memeluk Islam berbanding 12,000 
orang Asli yang ada di Kelantan," katanya kepada pemberita semasa 
persidangan Dewan negeri berhenti rehat.

Beliau menjelaskan bahawa ganjaran itu juga merupakan sebahagian 
daripada insentif kepada penggerak masyarakat Orang Asli di dalam 
Unit Dakwah Orang Asli di bawah Jabatan Agama Islam Kelantan yang 
baru ditubuhkan.

Terdahulu semasa menjawab soalan Mohamad Adhan Kecik (BN-Bukit 
Bunga), Hassan berkata adalah tidak lewat menubuhkan unit dakwah itu 
dalam usaha memperkasakan gerakan dakwah terhadap Orang Asli.

Selain ganjaran RM10,000, Hassan berkata kemudahan lain yang 
disediakan kepada penggerak masyarakat ini ialah elaun hampir 
RM1,000, tempat tinggal dan kenderaan pacuan empat roda.

Katanya apabila mereka berkahwin, pendakwah khususnya, yang sebelum 
ini tidak suka tinggal di kawasan pedalaman dan suka berulang alik, 
akan diberi tempat tinggal di sana.

"InsyaAllah, (kami akan beri ganjaran itu) kepada pendakwah lelaki 
dan wanita," katanya.

Beliau berkata antara usaha Jabatan Agama Islam Kelantan memberi 
tumpuan kepada kegiatan dakwah di kalangan masyarakat Orang Asli, 
ialah ia akan menambah jumlah pegawai dan kakitangan unit dakwah itu 
setelah melantik pegawai bertaraf S41 dengan dibantu lima penggerak 
masyarakat dan seorang pembantu tadbir.

Sebelum ini usaha dakwah dalam kalangan Orang Asli dijalankan dengan 
kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 
(Maik), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, Saufi Deraman (BN-Galas) ketika ditemui pemberita, 
mempersoalkan rasional ganjaran seperti itu dibuat, memandangkan di 
zaman Rasulullah SAW tidak pernah diamalkan memberi sebarang habuan 
atau harta jika masuk Islam.

"Bagaimana pula dengan orang Islam di negeri ini? Kenapa mereka yang 
berkahwin dengan orang India dan Cina tidak diberi ganjaran serupa, 
mereka juga rakyat Malaysia seperti Orang Asli?," soalnya.//Bernama






------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Check out the new improvements in Yahoo! Groups email.
http://us.click.yahoo.com/6pRQfA/fOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke