KOTA BAHARU, 2 Julai - Polis mengesahkan bedah siasat kematian 
seorang warga tua, Mat Jusuh Mat Hassan, 59, akibat disimbah asid 
dalam kejadian Khamis lalu di rumahnya di Kampung Gemang, Jeli 
mendapati asid itu disimbah dari jarak yang terlalu dekat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Supt Shafie Ismail 
berkata punca kematian Mat Jusuh juga disebabkan kecederaan yang 
terlalu parah di bahagian muka.

"Kita memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh kematian Mat 
Jusuh ini yang dipercayai ada unsur khianat," katanya kepada 
pemberita di sini, hari Ahad.

Dalam kejadian pada pukul 6.00 pagi itu, Mat Jusuh yang ketika itu 
sedang tidur bersama isterinya Che Timah Che Mat, 44, disimbah asid 
yang mengenai bahagian muka dan sebahagian badannya.

Asid itu juga turut mengenai bahagian belakang Che Timah tetapi 
keadaannya tidak serius.

Akibat kejadian itu, mangsa dan isteri dihantar ke Hospital Jeli 
sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) tetapi 
Mat Jusuh dipindahkan pula ke Hospital Universiti Sains Malaysia 
(HUSM).

Che Timah bagaimanapun dibenarkan keluar dari HRPZII selepas mendapat 
rawatan pesakit luar.

Bagaimanapun Mat Jusuh menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10 
malam, Jumaat lepas dan bedah siasat dilakukan di HUSM tengah hari 
tadi.

Shafie berkata menurut keterangan keluarga, mangsa pada masa hayatnya 
dikatakan seorang yang panas baran dan mungkin kematiannya disebabkan 
dendam seseorang.

Beliau berkata polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 
Kanun Keseksaan selepas kematiannya kerana sebelum ini siasatan 
mengikut Seksyen 307 kanun yang sama iaitu cubaan membunuh.

Sementara itu anak sulung Mat Jusuh, Ayub, 25, menganggap kematian 
ayahnya itu sebagai suratan takdir.

Beliau berkata jenazah ayahnya akan dikebumikan di Kampung Gemang 
selewat-lewatnya petang ini.//Bernama







------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Something is new at Yahoo! Groups.  Check out the enhanced email design.
http://us.click.yahoo.com/SISQkA/gOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke