KOTA BHARU, 3 Julai: Remaja Kelantan, khususnya `mat rempit' berpeluang berlatih menunggang motosikal secara berhemah apabila Kerajaan Kelantan dengan kerjasama DPP Resources Sdn Bhd mewujudkan akademi sukan bermotor di negeri ini, tidak lama lagi.
Akademi itu bertujuan melahirkan bakat baru sebagai pelumba motosikal di negeri ini yang boleh dididik sehingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, ia juga bertujuan menangani gejala sosial remaja khususnya mereka yang terbabit dengan kegiatan lumba haram. Serentak itu juga, kerajaan negeri melancarkan gerak kerja mencungkil bakat baru dalam perlumbaan motosikal menerusi Program Jelajah Kelantan 2006 mulai kelmarin hingga 26 Ogos. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri, Abdul Patah Mahmood, berkata sebuah litar bagi melatih penunggang motosikal di bawah akademi itu akan dibina di satu kawasan seluas dua hektar di Tanah Merah, tidak lama lagi. "Dengan adanya akademi ini remaja yang berminat menunggang motosikal, terutama `mat rempit' berpeluang mempelajari kaedah menunggang motosikal secara berhemah di samping mengatasi masalah gejala sosial yang membabitkan lumba haram. "Selain itu, langkah ini juga selaras usaha kerajaan untuk mencari bakat baru dalam perlumbaan motosikal hingga ke peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akhbar melancarkan Jelajah Kelantan 2006 Sukan Bermotor di Hotel Perdana, di sini, kelmarin. Hadir sama, jurulatih akademi itu yang juga bekas pelumba motosikal negara, Shahrul Yuzi; Pengarah Urusan DPP Resources, Mohd Hisham Mohd Nordin dan Penyelaras Jualan Modenas cawangan Kelantan, Nik Hafifah Nik Mahmood. Sebelum ini, Kerajaan Pas Kelantan terpaksa menangguhkan pembinaan litar perlumbaan yang dirancang bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa kerana tapak itu boleh mengganggu penerbangan. Abdul Patah berkata program itu dilancarkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di tapak pasar tani Tanah Merah kelmarin diikuti siri kedua di Taman Sri Guchil, Kuala Krai pada 15 Julai; siri ketiga, di Pantai Irama, Bachok (29 Julai); siri keempat di Pantai Sri Tujuh, Tumpat (12 Ogos); dan siri kelima di Stadium Sultan Muhamad IV, di sini pada 26 Ogos. Beliau berkata, sasaran program itu ialah khusus untuk golongan remaja belasan tahun hingga 25 tahun yang bertujuan mendekati dan membimbing mereka yang berminat sukan motor supaya tidak terikut dengan gejala lumba haram. "Program membabitkan perbelanjaan kira-kira RM474,900 ini juga diadakan untuk menjadikan menunggang motosikal secara selamat dan mengurangkan kemalangan," katanya. Katanya, program itu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK). Abdul Patah berkata, seramai 50 hingga 60 remaja dijangka diambil untuk mengikuti siri pertama program itu membabitkan remaja berumur bawah 25 tahun. Sementara itu, Nik Hafifah berkata, Modenas menyediakan 10 motosikal untuk kegunaan pelatih akademi itu dan akan ditambah mengikut keperluan.//Bharian ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Yahoo! Groups gets a make over. See the new email design. http://us.click.yahoo.com/XISQkA/lOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
