GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di pedalaman Kelantan berharap kerajaan memberi pertimbangan supaya meminda Kanun Tanah Negara bagi membolehkan mereka mendapat hak milik tanah sendiri seperti kaum lain di negara ini.
Ahli Dewan Negara, Osman Bongsu, berkata langkah itu penting supaya masyarakat Orang Asli khususnya di Kelantan tidak terus tertinggal dan dipinggirkan daripada arus pembangunan. "Sehingga kini, masyarakat Orang Asli di Kelantan masih terpinggir, apatah lagi tanah yang diteroka mereka dirampas akibat pencerobohan orang luar yang semakin serius sejak kebelakangan ini. "Sehubungan itu, langkah awal mengatasi masalah itu perlu dilakukan dan kerajaan diharap memberi pertimbangan untuk mewujudkan majlis perunding tanah antara masyarakat itu dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya. Osman berkata, beliau menganggap masalah membabitkan masyarakat Orang Asli tidak boleh dibiarkan dan langkah drastik dilakukan bagi menjamin masa depan masyarakat pribumi itu. "Sekarang kehidupan mereka seolah-olah hanya menumpang apabila tanah yang diterokai tidak mendapat hak milik, sebaliknya mudah dirampas pihak lain sesuka hati sehingga menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal," katanya. Beliau berkata, perkara itu sudah dibangkitkan di Sidang Dewan Negara dan difahamkan kementerian berkenaan bersama JHEOA sedang berusaha untuk mengatasinya termasuk penyelesaian hak milik tanah. "Kita sedang menunggu maklum balas daripada kementerian berkenaan dan saya percaya menterinya, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, akan mengumumkan mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat ini. "Selain itu, kita yakin perancangan yang dilakukan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan turut memberi perhatian kepada masyarakat Orang Asli dan seterusnya mengurangkan kemiskinan tegar kaum berkenaan. "Perancangan yang teratur sudah dilakukan kerajaan dengan fokus yang lebih utama bagi pembangunan bidang pertanian dan ternakan untuk Orang Asli supaya mereka memperoleh pendapatan yang lebih baik," katanya.//BHarian ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> See what's inside the new Yahoo! Groups email. http://us.click.yahoo.com/2pRQfA/bOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
