KOTA BHARU, 4 Julai - Kerajaan negeri tetap meneruskan projek membina pasar baru di Pasir Mas, biar pun kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Pasir dimenangi pembangkang pada pilihan raya kecil, 6 Disember lalu.
Projek bernilai RM50 juta itu akan dibina tidak lama selepas perjanjian usahasama pembangunan bandar Pasir Mas diadakan di antara Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dengan Eastern Biscuit Factory Sdn. Bhd. di sebuah hotel di sini, hari ini. Projek terbabit akan dimajukan di kawasan seluas 13 hektar berhampiran lebuh raya Pasir Mas - Rantau Panjang. Ia bakal dilengkapi bangunan kedai dan pejabat tiga tingkat, pasar raya, terminal bas, teksi, pasar basah serta pasar kering. Seni binanya pula bercirikan reka bentuk Islam. Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik berkata, kewujudan projek tersebut menggambarkan kerajaan negeri tidak mengutamakan Kota Bharu sahaja sebagai lokasi penting pembangunan di Kelantan. "Projek pembangunan Pasar Besar Pasir Mas adalah bukti menunjukkan kerajaan negeri tidak meminggirkan pembangunan kawasan lain di Kelantan termasuk di Pasir Mas. "Dan tiada sebab pembangunan ditolak selagi ia memberi manfaat kepada rakyat dan tidak melanggar dengan kehendak syarak," katanya di majlis tersebut. Teks ucapannya dibaca timbalannya, Dato' Ahmad Yakob. Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan yang dijalankan mengutamakan alam sekitar dan berkonsep mesra alam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan memberitahu projek berkenaan akan dibina secara berperingkat-peringkat yang dijangka mengambil tempoh tiga tahun untuk disiapkan. Bagaimanapun katanya, pembinaan pasar dijangka siap dalam tempoh masa 18 bulan. Yang Dipertua MDPM, Haji Mohd Faudzi Che Mamat berkata, pembinaan kompleks Pasar Besar Pasir Mas membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM50 juta. Menurutnya, apabila siap projek tersebut, MDPM dijangka dapat menambah punca pendapatan bagi membolehkan lebih banyak prasarana disediakan untuk kemudahan rakyat di kawasan MDPM. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Eastern Biscuit Factory Sdn. Bhd, Lim Hong Sang berkata, projek terbabit berupaya memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Kata beliau juga, syarikat berkenaan yang bermula dengan perniagaan biskut kini telah memasuki bidang hartanah dan pembinaan. Projek Pasar Besar Pasir Mas merupakan prasarana bertaraf mega kedua di Pasir Mas selepas bandar Anjung Petra yang sedang dalam pembinaan diwujudkan kawasan berdekatan. //Hrkh ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Check out the new improvements in Yahoo! Groups email. http://us.click.yahoo.com/6pRQfA/fOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
