KOTA BHARU: Gara-gara telefon bimbit, seorang remaja mati di tangan 
abang kandungnya, bekas seorang penagih dadah ketika bergelut di 
rumah ibu mereka di Kampung Tikat, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, 
tengah malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, ketika 
ditemui pemberita mengesahkan kejadian itu berpunca daripada 
pergaduhan antara dua beradik.

Abdul Rahim berkata, polis sedang memburu suspek dan menyiasat kes 
itu mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber terdekat dengan keluarga terbabit berkata, mangsa cedera parah 
akibat ditikam pada dada kirinya meninggal dunia ketika rawatan di 
Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Katanya, dalam kejadian pada jam 12.15 tengah malam itu, mangsa yang 
berusia 18 tahun diserang abang kandungnya menggunakan sejenis 
senjata dipanggil `lawi ayam'.

Mangsa ditikam ketika cuba merampas senjata itu daripada tangan 
abangnya.

Sumber itu berkata, sebelum kejadian, suspek yang sedang tidur di 
sebuah restoran milik keluarga mereka di Jalan Pengkalan Chepa di 
sini tiba-tiba mengamuk apabila menyedari telefon bimbit diambil 
adiknya.

"Suspek kemudian pergi ke rumah ibu mereka di Kampung Tikat kerana 
percaya telefon itu diambil ahli keluarganya sendiri dan mengamuk 
sehingga sukar dikawal," katanya.

Sumber itu berkata, ketika itulah berlaku pergaduhan dan suspek 
mengejar dan memukul mangsa dengan sebuah kerusi kayu sebelum menikam 
dadanya dengan `lawi ayam'.

Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas 
mendapati adiknya rebah ke tanah dengan dada berlumuran darah. Rakan-
rakan mangsa kemudian menghantarnya ke hospital dan beliau meninggal 
dunia tidak lama kemudian.

Mangsa dikatakan sedang menjalani latihan praktikal untuk 
menghabiskan pengajiannya di Politeknik Seberang Prai di Pulau Pinang.

Ibu mangsa seorang kakitangan kerajaan yang berumur 47 tahun ketika 
dihubungi enggan menceritakan detik malang membabitkan dua anaknya 
itu. //BHarian 6 Julai





 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke