KOTA BHARU: Kemiskinan yang masih menghimpit kehidupan lebih 10,000 
keluarga di Kelantan ketika ini, menyaksikan mereka sukar memperoleh 
makanan berkhasiat untuk tumbesaran kanak-kanak yang sempurna. 

Berbekalkan pendapatan kecil bagi menampung ahli keluarga yang ramai, 
mudah difahami betapa sukarnya seorang bapa atau ibu tunggal yang 
menjadi pencari rezeki tunggal dalam keluarga, menyediakan segala-
galanya. 

Bagi keluarga miskin negeri ini, memiliki anak ramai sehingga lebih 
10 orang adalah perkara biasa kerana berpegang teguh kepada fahaman 
anak adalah rezeki, meskipun hakikatnya ramai yang tidak berpeluang 
menikmati kehidupan selesa dan sempurna. 

Menyedari kesempitan yang menghimpit keluarga miskin negeri ini, 
Kerajaan Pusat menerusi pelbagai agensinya berusaha menyalurkan 
pelbagai bantuan bagi meringankan beban mereka. 

Antara agensi yang terbabit dalam usaha menyalurkan bantuan itu ialah 
Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang mengendalikan Program 
Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) atau turut dikenali sebagai Program 
Bakul Makanan. 

Sebelum ini, program itu turut dikendalikan oleh Kesedar, Risda dan 
Felcra. Menerusi Program Bakul Makanan itu, Kemas membantu 
menyalurkan barangan makanan yang berkhasiat tambahan kepada keluarga 
miskin yang layak menerima bantuan itu. 

Sepanjang tahun ini, 4,835 keluarga miskin yang mempunyai anak yang 
masih bersekolah berusia tujuh hingga 12 tahun dipilih menerima 
bantuan itu yang diharapkan dapat membentuk anak yang cergas dan 
cerdik. 

Pengarah Kemas Kelantan, Sannusi Mat Yajid, berkata Kemas akan 
membelanjakan hampir RM1.7 juta untuk membiayai pembelian barangan 
makanan untuk program itu sepanjang tahun ini. 

Katanya, antara kandungan bakul makanan yang diberikan itu 
termasuklah beras, susu, gandum, minyak masak, milo, biskut, ikan 
bilis, kacang hijau dan vitamin. 

"Setiap bakul makanan ini bernilai RM70 disampaikan kepada keluarga 
yang layak lima kali sepanjang tempoh setahun selepas mereka 
disenaraikan. Sebelum bantuan diagihkan, semua anak keluarga itu 
diambil maklumat ketinggian, berat badan serta tahap kesihatan masing-
masing. 

"Selepas suatu tempoh bakul makanan diberikan, kita akan membuat 
pemeriksaan semula keadaan itu bagi memastikan aspek kesihatan setiap 
kanak-kanak terbabit lebih baik daripada sebelumnya. 

"Matlamat kita, sumbangan yang disampaikan itu dapat meringan beban 
keluarga miskin yang layak dalam penyediaan makanan berkhasiat dalam 
usaha membantu kanak-kanak itu cergas ketika belajar di sekolah," 
katanya. 

Beliau berkata, setakat ini bakul makanan itu sudah diagihkan di 
beberapa daerah termasuk Dabong, Kuala Krai; Tanah Merah; Machang dan 
Rantau Panjang. 

Sannusi berkata, Kemas berharap penerima bantuan itu memanfaat 
barangan makanan yang diterima untuk anak-anak dan bukannya 
menjualnya semula untuk mendapatkan wang tunai. 

"Sebelum ini, kita mendapat maklumat ada sesetengah penerima bantuan 
ini menjual barangan makanan yang diterima mereka kerana ingin 
mendapatkan wang segera. 

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini pastinya menggagalkan usaha 
kerajaan untuk membantu anak mereka mendapat zat makanan yang baik 
untuk kekal cergas ketika belajar di sekolah," katanya. 

Sannusi berkata, selain bantuan bakul makanan, kanak-kanak yang 
memasuki Tabika Kemas di negeri ini juga menikmati bantuan makanan 
seimbang bernilai RM1.50 seorang setiap hari. 

Seorang buruh kasar, Wan Ramli Wan Said, 50, berkata dia berterima 
kasih terhadap keprihatinan Kemas yang membantu keluarganya dengan 
bakul makanan mengandungi pelbagai barangan berkhasiat itu. 

Beliau yang mempunyai empat anak, mengaku sukar menyediakan 
kelengkapan yang mencukupi untuk keluarganya, kerana kesukaran 
bekerja kuat berikutan menghidap penyakit bengkak hati. 

"Selama ini, keluarga saya hanya menikmati makanan sekadar untuk 
mengalas perut saja setiap hari kerana tidak mampu berbelanja lebih. 
Bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat menjadi tambahan kepada apa 
yang ada," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Jalan Bayam di 
sini. 

Ibu tunggal bersama 11 anak, Wan Asiah Wan Mahmood, 55, berkata usaha 
Kemas membantu golongan miskin terutama mereka yang berpendapatan 
kurang daripada RM200 adalah baik. 

"Sumbangan bakul makanan membantu meringankan beban saya menyediakan 
keperluan keluarga. Ia juga membawa perubahan kepada tahap kesihatan 
anak," katanya yang tinggal dekat Jalan Atas Paloh, di sini.//BHarian 
14 Julai 








------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Yahoo! Groups gets a make over. See the new email design.
http://us.click.yahoo.com/XISQkA/lOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke