GUA MUSANG: Kerajaan diminta menghapuskan tunggakan hutang lapuk semua peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) yang masih gagal dijelaskan sebelum program tanam semula ladang mereka dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
Langkah ini perlu kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menjelaskan tunggakan hutang bayaran kembali (BK) ladang kelapa sawit atau getah berikutan ladang itu menghadapi kekurangan hasil sejak beberapa tahun lalu. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata keseluruhan ladang getah dan kelapa sawit peneroka terbabit sudah melebihi usia 25 tahun yang layak untuk ditanam semula. Beliau berkata, cadangan menghapuskan tunggakan hutang BK peneroka itu sudah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama cadangan menyerahkan tanam semula ladang mereka kepada Felda. Katanya, peneroka menyuarakan kebimbangan apabila terus menanggung beban tunggakan hutang BK berkenaan yang tidak tahu sampai bila boleh dibayar balik kerana ekonomi mereka semakin tertekan. "Saya sudah membincangkan perkara dengan TPM baru-baru ini dan nampaknya beliau pada dasarnya memberi persetujuan dengan cadangan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Tiga, dekat sini, baru-baru ini. Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata, cadangan yang dikemukakan kepada TPM itu bukan bertujuan untuk membelakangi pihak pengurusan Kesedar dalam menyelesaikan masalah berkenaan. Sebaliknya, kata beliau, usaha itu untuk mempercepatkan proses tanam semula ladang peneroka yang sudah tertangguh begitu lama hingga kebanyakan mereka hilang punca pendapatan tetap. "Soal Kesedar juga sedang berusaha mengatasi masalah itu, saya berpendapatan ia tidak menimbulkan masalah kerana matlamat sebenar bagi menyelesaikan hak peneroka untuk menjamin pendapatan masa depan. "Jika Kesedar lebih cepat memproses program tanam semula adalah lebih baik, tetapi jika masih lambat lagi adalah lebih baik kita serahkan kepada agensi lain khususnya Felda," katanya. Beliau berkata, apabila program ditanam semula hendak dilaksanakan sudah tentu peneroka mahu wang sara hidup sebelum ladang baru mereka mengeluar hasil. "Dalam cadangan bersama kepada TPM itu juga kita mahu setiap peneroka diberi antara RM500 hingga RM750 sebulan sebagai wang sara hidup untuk tempoh tiga tahun sementara menunggu hasil ladang," katanya.//BHarian 14 Julai ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> See what's inside the new Yahoo! Groups email. http://us.click.yahoo.com/2pRQfA/bOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
