KOTA BHARU: Bilangan ibu tunggal di Kelantan semakin meningkat,
berpunca daripada kegagalan kaum lelaki menjadi ketua keluarga yang
bertanggungjawab.
Berikutan itu, pertubuhan sukarela wanita, Wanita Inovatis Jayadiri
(Wijadi) Kelantan, sedang membuat kajian mengesan punca fenomena itu
yang ketika ini berdasarkan perangkaan kerajaan negeri membabitkan
11,000 orang.
Pengerusinya, Che Aniha Datuk Ishak, berkata kajian itu penting bagi
membolehkan pertubuhan itu mengambil langkah perlu untuk menangani
gejala berkenaan.
"Kita sedang membuat kajian mengesan punca sebenar menyebabkan
bilangan ibu tunggal di negeri ini semakin meningkat kerana kajian
rambang mendapati kebanyakan perceraian di negeri ini berpunca sikap
lelaki gagal menjadi ketua keluarga bertanggungjawab.
"Selain itu, mereka masih mentah apabila berkahwin terlalu awal dan
tiada pendedahan mengenai rumah tangga. Sebab itu, kita lihat dalam
bengkel kekeluargaan, sering peserta wanita lebih ramai daripada
lelaki.
"Ini menunjukkan lelaki negeri ini tidak prihatin dalam menjaga rumah
tangga berbanding wanita. Lelaki Kelantan juga sukar kita tengok
membawa atau mencuci pinggan mangkuk di dapur berbanding lelaki
negeri lain," katanya ditemui Berita Harian di sini, semalam.
Che Aniha berkata, sejak penubuhannya tujuh tahun lalu, Wijadi banyak
menyelesaikan masalah khususnya membabitkan perundangan kepada ibu
tunggal selain penderaan dan perceraian yang dihadapi mereka.
"Bagaimanapun, kita tidak tahu bilangan sebenar mereka yang
menghadapi masalah itu, selagi mereka tidak tampil untuk mendapat
pertolongan kita," katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan
Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa, berkata kira-kira
11,000 ibu tunggal di negeri ini, diberi kemudahan Skim Insurans
Takaful Berkelompok (SITB) mulai tahun ini.
Beliau berkata, menerusi skim itu, setiap ibu tunggal terbabit
dibiayai caruman RM14 setahun oleh kerajaan negeri dan anak-anak
mereka yang menerima skim itu, akan mendapat faedah daripada syarikat
insurans apabila berlaku kematian, mengikut kadar yang ditetapkan.
Husam berkata, ibu tunggal dipilih menerima skim itu berdasarkan
bancian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut kategori masing-
masing, termasuk mereka yang kematian suami atau mangsa perceraian
hidup.
"Kerajaan negeri belum dapat mengenal pasti dakwaan punca menyebabkan
ramai ibu tunggal di negeri ini kerana kita belum membuat kajian
terperinci mengenai perkara itu tetapi kita sedang mengambil langkah
tertentu untuk membela nasib mereka," katanya.//BHarian 14 Julai
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/