KOTA BHARU: Tapak pelupusan sampah Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dekat Pantai Sabak di sini, dikenal pasti tidak memenuhi spesifikasi pelupusan sisa pepejal serta perlu dipindahkan.
Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah, berkata lokasi pusat pelupusan sampah itu juga tidak sesuai kerana terletak di tepi pantai yang sedang diancam hakisan. Katanya, kajian Jawatankuasa Pengurusan Pelupusan Sisa Pepejal Negara mendapati langkah segera perlu dilakukan bagi mengelakkan pusat pelupusan sampah itu memberi kesan buruk kepada alam sekitar dalam jangka panjang. "Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah mengeluarkan peruntukan menambak hakisan serius di pantai Sabak. Ia juga bertujuan mengelak hakisan itu merebak ke tapak pelupusan. "Kementerian sudah menasihatkan MPKB supaya mencari jalan untuk mencari lokasi lain yang lebih sesuai atau menggunakan kaedah lain berbanding sistem tanam yang digunakan di lokasi itu, ketika ini. "Setakat ini, belum ada apa-apa tindakan dilakukan MPKB. Kita bimbang lama-kelamaan pusat pelupusan sampah itu akan menjejaskan alam sekitar dan mencemarkan laut kerana struktur batu yang digunakan sebagai benteng menghalang hakisan pantai itu tidak bertahan lama," katanya. Sazmi berkata, menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pelupusan Sisa Pepejal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, setiap tapak pelupusan dinilai tahap kritikalnya termasuk aliran keluar air busuk, lokasi dan sistem yang digunapakai. "Sistem pelupusan yang digunapakai di Pantai Sabak itu tidak sesuai dan kajian menunjukkan ia dispesifikasikan pada tahap yang rendah serta dalam kategori yang perlu dipindahkan. "Sepatutnya mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membina pusat pelupusan sampah berdekatan pantai dan sungai kerana ia akan mengancam alam sekitar serta membahayakan penduduk," katanya kepada Berita Harian, semalam. Sazmi berkata, beliau akan membuat tinjauan terhadap tapak pelupusan itu dalam masa terdekat serta mengadakan perbincangan dengan MPKB dan kerajaan negeri. "Masalah tapak pelupusan sampah adalah masalah membabitkan kepentingan nasional serta memerlukan perbincangan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikannya," katanya. Mengenai permohonan Kerajaan Pas Kelantan mendapatkan peruntukan Kerajaan Pusat bagi membina pusat pelupusan sampah lebih teratur, beliau berkata ia perlu dibincangkan jawatankuasa itu sebelum sebarang keputusan dibuat. Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Takiyuddin Hassan, berkata PBT Kelantan memerlukan peruntukan Kerajaan Pusat bagi membina pusat pelupusan sampah kerana negeri ini tidak mempunyai peruntukan sedangkan ia membabitkan kos tinggi. Katanya, ketika ini, 12 PBT di Kelantan melupuskan sampah masing- masing di 10 lokasi pelupusan di seluruh negeri.//Bharian 20 Julai ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Yahoo! Groups gets a make over. See the new email design. http://us.click.yahoo.com/XISQkA/lOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
