KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan akan menjalankan gerakan mendaftarkan kira-kira 2,000 anak Orang Asli yang belum mempunyai sijil kelahiran meskipun sudah memasuki alam persekolahan.
Pengarahnya, Wan Mat Wan Salleh, berkata gerakan itu dijalankan dengan kerjasama pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Kelantan yang kini sedang dalam proses mengenal pasti bilangan sebenar. Katanya, gerakan itu bukan saja untuk memastikan kanak-kanak Orang Asli memiliki sijil lahir, malah kad pengenalan bermutu tinggi kepada penduduk Orang Asli dewasa. "Saya sudah berbincang dengan pegawai JHEOA untuk turun ke kawasan perkampungan Orang Asli bagi tujuan itu dan kami percaya ramai lagi kanak-kanak Orang Asli yang belum memiliki sijil kelahiran. "Selain itu, ramai penduduk Orang Asli yang sudah mencapai umur melebihi 12 tahun masih tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan," katanya di sini, semalam. Katanya, berdasarkan undang-undang Akta Kelahiran dan Kematian, setiap kelahiran penduduk perlu didaftarkan dan jika gagal berbuat demikian mereka terbabit boleh didenda sehingga RM50. "Bagaimanapun, bagi kes membabitkan penduduk Orang Asli, kita tidak akan mengenakan sebarang bayaran, malah memudahkan urusan pendaftaran mereka dengan menyediakan unit mudah alih peralatan komputer, kamera dan kenderaan untuk memudahkan gerakan itu," katanya. Wan Mat berkata, tahun lalu saja, JPN Kelantan mengeluarkan kad pengenalan bermutu tinggi kepada lebih 1,000 penduduk Orang Asli dewasa termasuk yang melebihi umur 40 tahun. Beliau berkata, proses pendaftaran itu memerlukan pengesahan Borang A yang disahkan pegawai JHEOA dan Ketua Kampung Orang Asli sebagai mengesahkan pemohon adalah penduduk Orang Asli. "Sepanjang tahun lalu, gerakan turun ke kawasan perkampungan Orang Asli dilakukan lima kali, manakala sejak awal tahun ini, sudah tiga kali kita turun mendaftarkan mereka. "Bagaimanapun masih ramai kanak-kanak yang tidak memiliki sijil kelahiran dan memerlukan tindakan segera," katanya. Akhbar ini semalam melaporkan, kira-kira 2,000 anak Orang Asli yang sedang belajar di 11 sekolah sekitar pedalaman Gua Musang, belum mempunyai sijil kelahiran meskipun berada dalam darjah satu hingga enam. Keadaan itu menimbulkan masalah kepada pengurusan sekolah untuk mendaftarkan kemasukan mereka memasuki sekolah menengah. Antara 11 sekolah rendah perkampungan Orang Asli termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah, Pasir Linggi, Seri Permai, Tohoi, Balar, Blau, Bihai, Pulat, Hendrop, Pos Brooke dan Kuala Betis.//BHarian 20 Julai ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Check out the new improvements in Yahoo! Groups email. http://us.click.yahoo.com/6pRQfA/fOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
