Jabatan Kesihatan Kelantan naikkan tahap bersih daripada 50 peratus 
kepada 65 peratus atau diarah tutup

KOTA BHARU: Semua kantin sekolah seluruh Kelantan perlu mencapai 
tahap sekurang-kurangnya 65 peratus bersih atau menghadapi tindakan 
diarah tutup, berkuat kuasa serta-merta.

Jabatan Kesihatan Kelantan meningkatkan tahap kebersihan itu daripada 
50 peratus sebelum ini, berikutan peningkatan kes keracunan 
membabitkan kantin sekolah sejak awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad 
Mahir, berkata sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, 837 murid 
menjadi mangsa keracunan dalam 20 kejadian.

"Kejadian itu menunjukkan pengendali kantin sekolah masih gagal 
menjaga kebersihan premis masing-masing serta tidak mematuhi Akta 
Makanan 1983 yang dikuatkuasakan terhadap mereka.

"Berikutan itu, kita kini meningkatkan tahap nilai kebersihan setiap 
kantin sekolah daripada 50 peratus kepada 65 peratus. Gagal mencapai 
tahap itu, premis mereka akan diarah tutup. 

"Sebelum ini, dalam pemeriksaan terhadap kantin sekolah sebelum, 
premis itu hanya diarah tutup jika tahap kebersihan kurang daripada 
50 peratus," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan Konvensyen Program 
Doktor Muda Peringkat Negeri Kelantan 2006, di Pusat Sumber Pelajaran 
Negeri (PSPN), di sini, semalam. Kira-kira 300 murid daripada seluruh 
Kelantan menyertai program itu.

Dr Ahmad Razin berkata, berbanding tahun lalu, kes keracunan makanan 
di sekolah hanya membabitkan 380 murid dengan lapan kejadian.

"Keracunan makanan yang disebabkan kegagalan menjaga kebersihan 
premis adalah serius dan ia memerlukan tindakan drastik semua pihak 
termasuk Jabatan Pelajaran Negeri," katanya.

Mengenai program doktor muda, Dr Ahmad Razin berkata, program itu 
boleh mengajar murid dari peringkat sekolah rendah menjaga kesihatan 
diri termasuk menjauhkan diri daripada tabiat merokok.

"Saya minta murid yang menjadi ahli kelab doktor muda serta peserta 
program ini supaya tidak mengikut arahan ibu bapa jika mereka disuruh 
membeli rokok.

"Jika kamu diberi wang RM10 dan disuruh membeli rokok, habiskan wang 
itu dengan membeli gula atau gula-gula, jangan sekali-kali membeli 
rokok kerana merokok jelas membahayakan kesihatan," katanya.//BHarian 
20 Julai







------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Check out the new improvements in Yahoo! Groups email.
http://us.click.yahoo.com/6pRQfA/fOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke