TANAH MERAH, 20 Julai -- Kegiatan perlombongan emas yang tidak 
terancang di Hutan Simpan Kekal Sokor Taku, dekat sini, mengancam 
kira-kira 600 penduduk Kampung Sokor yang bergantung kepada sungai 
sebagai satu-satunya sumber bekalan air.

Aktiviti perlombongan yang bermula pada 1991 itu turut memusnahkan 
ekologi alam sekitar setelah tinjauan Bernama mendapati beberapa anak 
sungai dipesongkan alirannya bagi kegiatan menyedut tanah ke kawasan 
palong di atas bukit.

Ekoran itu beberapa anak sungai "mati" kerana airnya bertukar menjadi 
kehitaman sehingga menjijikkan mata memandang.

Begitu juga setiap kali hujan turun, keladak dan lumpur akan menuruni 
cerun yang gondol di beberapa kawasan tinggalan lombong seluas 10 
kilometer persegi ke Sungai Sokor menyebabkan airnya, yang pada satu 
ketika dahulu terkenal dengan kejernihannya, bertukar menjadi 
kemerahan.

Anggota Parlimen Tanah Merah Shaari Hassan berkata kos melombong di 
kawasan tanah tinggi adalah tidak ekonomik.

"Kerajaan negeri mengalami kerugian besar. Pokok-pokok balak, yang 
sepatutnya dilindungi, ditebang bagi menampung kos, sehingga aktiviti 
pembalakan menjadi aktiviti utama. Ianya bagaikan satu muslihat 
menghalalkan pengeluaran kayu balak dari situ dengan mewartakannya 
sebagai kawasan perlombongan," katanya kepada Bernama ketika ditemui 
di sini hari Khamis.

Beliau meminta agar pihak terbabit memantau aktiviti 'perlombongan' 
di kawasan tadahan hujan itu kerana sebarang aktiviti yang tidak 
terkawal boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap kawasan hilir 
Sungai Kelantan.

Katanya banjir lumpur yang melanda bandar Kota Baharu pada akhir 
tahun 2004 adalah kesan mendapan keladak di muara yang menghalang 
aliran air ke laut dan seterusnya meningkatkan paras air sungai 
sehingga melimpahi tebing.

Lebih mendukacitakan lagi, kata Shaari, air Sungai Kelantan yang 
tercemar ini turut menjadi antara sumber air mentah Air Kelantan 
Sendirian Berhad (AKSB), syarikat milik kerajaan negeri yang 
membekalkan air bersih kepada penduduk Kelantan.

Seorang penduduk tempatan, Nordin Mamat, 45, menyeru kerajaan negeri 
supaya tidak lagi membuka kawasan lombong baru bagi mengelak 
berlakunya hakisan tebing yang boleh menyebabkan punca air di hulu 
sungai tercemar.

Beliau berkata bahawa sejak bermulanya aktiviti perlombongan, 
penduduk di sini dengan bantuan Kementerian Kesihatan telah bergotong 
royong membina beberapa saluran paip dari kawasan air terjun, enam 
kilometer dari situ.

Katanya air bersih dari paip-paip berkenaan disalurkan ke tiga tangki 
besar bagi kegunaan harian penduduk kampung sejak 10 tahun lalu.

"Beberapa buah syarikat yang terlibat telah memberhentikan aktiviti 
mereka sejak beberapa tahun lalu. Mereka keluar begitu saja, tanpa 
membaik pulih kawasan lombong. Yang menjadi mangsa adalah kami," kata 
Nordin.

Seorang lagi penduduk tempatan, Che Malek Mat Jusoh, 52, berkata 
aliran sungai berkenaan yang berkeladak juga digunakan oleh 260 
keluarga yang menetap dan bekerja di Ladang Getah Sokor dan Kerilla 
yang berdekatan.

"Mereka tiada pilihan lain. Itulah satu-satunya sumber air yang ada 
di kawasan tanah tinggi. Nak gali telaga kosnya tinggi," 
katanya./Bernama








------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Yahoo! Groups gets a make over. See the new email design.
http://us.click.yahoo.com/XISQkA/lOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke