TUMPAT: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib malang yang ditempuh enam beradik selepas kematian bapa mereka 51 hari lalu. Kelmarin ibu mereka pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di sini.
Ibu tunggal, Anilah Yusof, 37, koma selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Sireh di sini kira-kira jam 7.30 pagi pada 19 Julai lalu, meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi Jumaat. Ketika kemalangan, Anilah bermotosikal dalam perjalanan untuk menghantar dua anaknya, Nurulni Faryha Suhaimi, 12, dan Nurul Shaal Sabella, 8, yang turut cedera ke sekolah. Pada 4 Jun lalu, suaminya, Suhaimi Ismail, 44, yang bekerja sebagai pembatik untuk menyara keluarga, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam badan. Kematian pasangan suami isteri itu menyebabkan enam anak mereka yang berusia antara lapan hingga 21 tahun terpaksa berdikari untuk menyara kehidupan yang kian tersepit. Anak kedua pasangan itu, Nurul Daniane, 20, kini terpaksa mengambil alih tugas ibunya menjaga empat adiknya yang masih bersekolah, sementara abangnya, Mohd Dania Shuhaiman, 21, berusaha menyara kehidupan mereka. Mohd Dania yang bekerja di kedai perabot pada sebelah siang hari, turut berniaga burger di sebelah malam bagi mencari pendapatan untuk menyara adik-adiknya. Nurul berkata, kematian ibu dan bapa mereka menyebabkan dia yang sebelum ini bekerja, terpaksa berhenti untuk menjaga adik-adiknya yang masih bersekolah dan kini cedera akibat kemalangan itu. "Dalam keadaan masih bersedih akibat kematian bapa, kami dikejutkan pula dengan pemergian ibu akibat kemalangan jalan raya. Dua adik yang turut terbabit dalam kemalangan itu kini masih trauma. "Ketika kejadian, ibu dalam perjalanan menghantar dua adik ke sekolah dekat Kampung Pintu Geng. Motosikal mereka dikatakan dirempuh sebuah motosikal lain yang dinaiki seorang remaja dari arah belakang," katanya ketika ditemui di rumah sewa adik beradik itu di sini, semalam. Nurul berkata, ketika itu, secara tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari arah Pintu Geng ke Kota Bharu melanggar ibu dan dua adiknya kerana dipercayai cuba mengejar lampu isyarat. "Ibu dan adik terpelanting dan pengsan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II oleh orang awam yang melihat kejadian itu. "Ibu terpaksa menjalani pembedahan kerana tulang rusuknya patah. Selepas pembedahan, ibu koma sehinggalah dia meninggal dunia," katanya. Beliau berkata, jenazah ibunya dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Pohon Tanjung, Jumaat lalu. Ketua Trafik Daerah Kota Bharu, Asisten Superintendan Tan Chai Heng, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan membabitkan ibu tunggal itu dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987./BHarian ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> See what's inside the new Yahoo! Groups email. http://us.click.yahoo.com/3EuRwD/bOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
