PASIR MAS: Kira-kira 100 murid sekitar Banggol Jering, di sini,
terpaksa menyeberangi sungai kampung itu dengan meniti titi rakit
untuk ke sekolah setiap hari.
Keadaan itu terpaksa ditempuh mereka kerana itulah satu-satunya
laluan terdekat ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru yang terletak di
seberang sungai itu, kira-kira 500 meter dari kampung berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan murid terdedah kepada risiko terjatuh ke
dalam sungai kerana titi rakit buluh yang berlantai papan itu tiada
sebarang pemegang, selain semakin uzur dan reput.
Untuk menyeberangi sejauh 50 meter itu, mereka terpaksa menunggu
giliran untuk melalui titi rakit berkenaan kerana bimbang bahaya jika
melintas serentak.
Tujuh titi rakit membentuk laluan melintasi sungai itu yang diikat
longgar antara satu sama lain dengan tali nilon menyebabkan ada
ketikanya ia terpisah daripada kedudukannya ketika kanak-kanak
melaluinya.
Berikutan itu, ibu bapa melarang anak masing-masing berbasikal ke
sekolah menggunakan titi rakit itu kerana bimbang membahayakan lagi
keselamatan mereka.
Suri rumah, Rohani Hamid, 29, yang dua anaknya berulang alik menerusi
titi rakit setiap hari berkata, kemudahan laluan itu sebenarnya
disediakan penduduk kampung secara bergotong-royong sejak 10 tahun
lalu.
"Seramai 200 keluarga penduduk di sini, pernah menyuarakan
kebimbangan bahaya anak-anak melalui titi rakit itu kepada wakil
rakyat di sini, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian.
"Wakil rakyat pernah berjanji membina jambatan konkrit di kampung ini
bagi memudahkan penduduk terutama kanak-kanak sekolah berulang alik
tetapi janji tinggal janji," katanya.
Beliau berkata, setiap kali musim tengkujuh, titi rakit itu sering
dihanyutkan arus deras menyebabkan penduduk terpaksa membaiki
kerosakan atau membinanya semula.
Pemandu bas, Nor Mohamad Hamat, 49, berkata penduduk berharap
kerajaan negeri atau Pusat menyegerakan pembinaan jambatan di situ,
kerana penduduk kampung menagih janji itu sejak lebih 20 tahun lalu.
"Laluan darat menuju ke sekolah terdekat jalan sejauh 10 kilometer
kerana perlu melalui dua kampung berjiran iaitu Cherang Hangus dan
Lubuk Jong. Setakat ini, sudah lima kali penduduk bergotong-royong
membina titi rakit ini.
"Titi rakit yang ada ini dibina dua tahun lalu dan kini semakin
reput, tunggu masa pecah ketika musim tengkujuh," katanya.//BHarian
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/