KOTA BHARU 26 Julai Kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang nenek
atau datuk terhadap cucu sering dianggap berlebihan berbanding
seorang ibu atau bapa.
Tidak terkecuali bagi Zainab Mahmud, 63, yang kini bersendirian
menjaga dan mengasuh seorang cucunya yang dilahirkan dalam keadaan
tidak sempurna.
Cucunya, Mohd. Mazlan Mohamad diserah kepadanya ketika berusia berapa
hari dalam keadaan lumpuh kerana mengidap cerebral palsy.
Mohd. Mazlan, 14, hanya mampu terlantar namun kasih sayang Zainab
terus mendalam walaupun cucunya masih perlu dilayani semacam bayi.
Sejak dua tahun lalu cucunya itu terpaksa bergantung pada tiub yang
disalurkan melalui hidungnya untuk minum susu kerana saluran tekaknya
sempit.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Jalan Perdana Resort
dekat sini, Zainab memberitahu, cucunya hanya bergantung kepada
minuman kerana tidak dapat menelan makanan pejal.
"Setiap kali dia sedut nafas, bunyinya amat kuat semacam sedang lelah
teruk. Mak cik rasa terseksa mendengarnya.
"Dulu masa kecil bolehlah mak cik dukung bawa dia ke mana-mana
untuk `ambil angin,' sekarang dah tak larat. Mujurlah Yayasan Orang
Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) beri kerusi roda," ujarnya.
Zainab yang kematian suami lebih sebulan lalu masih menyara kehidupan
dengan mencari daun rokok dan kepah dengan pendapatan RM10 sehari.
Mengurus cucunya bukanlah payah bagi Zainab kerana dia tidak tahu
merengek, cuma menghadapi kesukaran untuk membawa Mohd. Mazlan
mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) yang
jaraknya 12 kilometer dari rumah.
Mohd. Mazlan terpaksa ke HPRZ II tiga bulan sekali untuk pemeriksaan
doktor dan sebanyak dua minggu sekali untuk menukar tiub.
"Mak cik tidak perlu risau sangat untuk buat kerja lain tetapi kalau
terpaksa tinggalkan dia, makcik kena upah orang jaga atau jiran
tengokkan.
"Kadang-kadang terpaksa juga bawa dia untuk mencari daun rokok dan
kepah. Kesian pula kalau dia tinggal seorang," ujarnya.//Utusan
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/