KOTA BHARU, 2 Ogos - Penubuhan tabung berasaskan kebajikan perlu
diperluas sebagai usaha membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada
rakyat, kata Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Selain itu dengan adanya tabung ini juga boleh memberi peluang
kepada rakyat untuk turut membuat kebajikan dengan menderma," katanya
pada majlis pelancaran Tabung Pendidikan, Kemiskinan dan Bencana Alam
Parlimen Rantau Panjang di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Oleh itu, menurut beliau bagi memastikan tabung terbabit dapat
berfungsi dengan baik, rangkaian penderma mesti diperluaskan dan
tidak tertumpu dalam negeri sahaja.
Katanya, ramai rakyat Kelantan yang berada di luar negeri berjaya
sebagai ahli korporat terkenal dan mereka boleh ditemui bagi
mendapatkan bantuan.
Pengerusi Tabung Pendidikan, Kemiskinan dan Bencana Alam Parlimen
Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Harun berkata, tabung itu diharap
dapat meringankan beban ibu bapa bagi menanggung perbelanjaan
pendidikan anak-anak.
"Diharap tabung ini boleh berfungsi bagi membantu ibu bapa dan
pelajar ketika awal penggal persekolahan dan di waktu menjelang musim
peperiksaan. Kita berharap kewujudan tabung ini dapat mengelakkan
anak-anak tercicir dalam pelajaran," katanya.
Selain itu beliau berkata, penduduk di Rantau Panjang juga sering
berdepan dengan banjir setiap tahun yang mengakibatkan kerugian
dialami mereka tidak sedikit.
Oleh itu, beliau yang juga anggota Parlimen Rantau Panjang berkata,
melalui tabung itu diharap bantuan segera kepada mangsa-mangsa
bencana alam dapat disalurkan sebelum mendapat bantuan kerajaan.
Beliau juga berharap tabung terbabit digerakkan dengan lebih agresif
untuk menyampaikan bantuan secara menyeluruh kepada rakyat miskin
tanpa batasan politik, warna kulit dan agama.
Mereka yang berminat mengisi Tabung Pendidikan, Kemiskinan dan
Bencana Alam Parlimen Rantau Panjang boleh memasukkan ke dalam akaun
Bank Islam Malaysia Bhd - 03027010034243.//Hrkh
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/