KOTA BHARU, 2 Ogos - Setelah berjaya menggerakkan program belia 
berdikari, kini kerajaan Kelantan mengorak ke peringkat lebih global 
dengan menganjurkan bengkel perniagaan membabitkan usahawan muslim 
dari negara-negara Asia. 
Seramai 150 usahawan muslim akan berkampung di sini selama dua hari 
bagi membincangkan kepakaran untuk bekerjasama menjana keutuhan 
ekonomi ummah.

Program itu dikenali sebagai International Muslim Business Network 
Workshop 2006 akan diadakan pada 5 dan 6 Ogos ini bertempat di Hotel 
New Pacific.

Ia dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Pupuk Nilai Murni dan 
The Asian Federation Muslim Business Network Youth (AFMY).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, 
Haji Zulkifli Mamat berkata, bengkel itu julung kali diadakan akan 
menghimpunkan seramai 150 usahawan Muslim dari pelbagai negara Asia.

"Kita akan membincangkan kepentingan untuk membentuk rangkaian dan 
jalinan perniagaan di peringkat antarabangsa. Fokus utama bengkel 
membincangkan isu dan cabaran ke arah merealisasi matlamat 
mengukuhkan rangkaian perniagaan di kalangan peniaga Muslim Asia.

"Objektifnya menjadi platform dan sumber rujukan yang berkesan dalam 
urusan perdagangan Islam di Asia dan mencari peluang perniagaan, 
rakan kongsi serta perkongsian pandangan," katanya di sini, hari ini.

Perasmian bengkel itu akan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru 
Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 2 petang, 5 Ogos ini dan 
penutupnya dijangka dilakukan Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad 
Yakob, jam 9 malam, 6 Ogos.

Enam kertas kerja dijangka dibentang pada bengkel tersebut iaitu 
berkaitan bidang makanan halal oleh Salman Ahmed dari Emeriah Arab 
Bersatu, pengiklanan (Harini Hari - Singapura), pemasaran (Mohd Daud 
Abdul Rahim - Singapura).

Aminullah Khan dari India pula berkisar penggunaan mesin dan 
teknologi, Dr Rosli Yakop (Malaysia - mengenai perniagaan 
antarabangsa) dan wakil Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan 
berkaitan peluang perniagaan di negeri ini. 

Zulkifli berkata, peserta bengkel dikhaskan iaitu 30 dari negara-
negara Asia, 30 lagi dari negeri-negeri lain di Malaysia dan 90 
usahawan tempatan. 

Setiap peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM50. Mereka yang 
berminat boleh menghubungi Pupuk Nilai Murni di talian 09 7488 442 
atau email: [EMAIL PROTECTED]//Hrkh
 






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke