KOTA BAHARU, 3 Ogos - Sukan Tomoi atau Muay Thai adalah satu cabang 
seni mempertahankan diri yang menggunakan kepantasan anggota badan 
seperti tangan, siku, kaki dan lutut dalam mencari sasaran untuk 
menjatuhkan lawan.

Berasal dari Thailand, sukan Tomoi telah banyak melahirkan jaguh yang 
mampu memberi tentangan ketika beraksi di atas gelanggang.

Nama-nama seperti Chepa Somadi, Wan Jaafar Tok Raja Geting, Husin 
Bidah, Cikgu Harun Pohon Tanjung, Dollah Kuda Kayu dan ramai lagi, 
adalah antara 'anak muay' atau peninju yang digeruni lawan terutama 
dari negara jiran pada tahun 70-an.

Setelah hampir suku abad berkubur, sukan ini kembali mendapat 
suntikan semangat lewat tahun 90-an dan mula mendapat tempat di hati 
masyarakat apabila gelanggang-gelanggang dan pusat latihan Tomoi 
tumbuh bagaikan cendawan semasa musim hujan, di seluruh negeri.

Senario ini boleh dilihat di mana setiap minggu, perlawanan Tomoi 
yang dianjurkan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat 
setempat. Setiap penonton dikenakan bayaran masuk RM10 untuk 
menyaksikan perlawanan yang bermula pukul 9 malam dan berakhir kira-
kira 12 tengah malam.

PERTANDINGAN HAMPIR SETIAP MALAM

Bagi peminat Tomoi di Kelantan, mereka boleh menyaksikan pertandingan 
itu di beberapa buah gelanggang mudah alih di Wakaf Baharu di Tumpat, 
Tendong di Pasir Mas, sekitar bandar Tanah Merah, Pantai Irama di 
Bachok dan di kawasan padang sekolah di sekitar bandar ini.

Kebiasaannya sebanyak lima regu dipertandingkan pada setiap malam, 
tiga daripadanya adalah regu tempatan manakala dua lagi dari Thailand 
dengan pemenang bagi setiap perlawanan akan menerima hadiah berupa 
wang tunai RM500 manakala RM300 bagi yang kalah.

Setiap perlawanan akan diiringi tiupan serunai dan paluan gendang 
diikuti gerak langkah kedua-dua 'anak muay' sebagai pembuka tirai. 
Upacara ini dipanggil langkah sembah sebelum memulakan perlawanan 
sebagai salam perkenalan kepada penonton yang terpaksa berdiri dan 
bersila di atas tanah.

Namun begitu, kepuasan jelas terbayang di raut wajah mereka yang 
sememangnya ketandusan hiburan sejak bermulanya era pemerintahan 
kerajaan PAS pada tahun 1991.

Pekikan dan riuh rendah ribuan suara yang memenuhi kawasan 
gelanggang, tidaklah sehebat lautan manusia yang menyaksikan legenda 
Sukan Tinju Dunia Mohamad Ali bertanding. Namun ia sudah cukup 
memberi gambaran bahawa Tomoi sememangnya diminati masyarakat negeri 
ini.

KIAN BERKURANGAN AKIBAT PERGOLAKAN

Kekacauan akibat pergolakan politik yang berlaku di Selatan Thai 
sejak Januari 2004 yang telah mengorbankan kira-kira 1,300 nyawa, 
merupakan salah satu faktor pendorong kepada fenomena ini.

Tinjauan BERNAMA di sekitar Wilayah Narathiwat mendapati kebanyakan 
gelanggang tinju di situ, bagaikan hidup segan, mati tak mahu, ekoran 
daripada kekacauan yang berlaku.

Ramai di kalangan 'anak muay' di kawasan itu telah berhijrah ke 
kawasan yang lebih selamat terutama ke Utara Bangkok. Kalau adapun 
yang masih menetap, hanyalah mereka yang dikategorikan sebagai 'anak 
muay' kelas tiga. Aktiviti yang dijalankan hanya secara kecil-kecilan 
agar warisan seni mempertahankan diri itu tidak luput ditelan zaman.

Menurut Pengerusi Persatuan Pelancongan Wilayah Narathiwat yang juga 
Penasihat Gabenor Narathiwat Abdul Aziz Awang Seman, masalah 
keselamatan yang masih belum stabil di tiga wilayah terbabit iaitu 
Pattani, Yala dan Narathiwat menyebabkan pelbagai kegiatan seperti 
perhimpunan awam tidak selamat untuk dianjurkan.

"Dulu setiap kali perlawanan Tomoi, ramai rakyat Malaysia datang. 
Orang sini kaut pitih (duit) bubuh dalam guni. Hotel-hotel semua 
penuh sampai ada yang tidur di masjid atau madrasah. Kedai-kedai 
makan sampai habis nasi," katanya ketika menyingkap sejarah lampau.

PEMINAT TOMOI SELATAN THAI BERTUMPU KE KELANTAN

Pada masa ini, hanya empat atau lima bulan sekali pertandingan Tomoi 
diadakan di kawasan Narathiwat dan ia bergantung kepada keadaan 
keselamatan dengan bilangan penonton yang kecil kebanyakannya terdiri 
daripada rakyat tempatan, kata Abdul Aziz.

Seorang peminat Tomoi di Pekan Sungai Golok, Selatan Thai, Shukri 
Talib, 44, berkata beliau sering menyeberangi sempadan dan bermalam 
di rumah saudara-mara atau kenalannya semata-mata untuk menyaksikan 
perlawanan Tomoi di negeri ini.

Walaupun perlawanan yang disaksikannya tidak sehebat regu Tomoi di 
negaranya, tetapi dengan keadaan keselamatan yang terjamin ia sudah 
cukup menghiburkan.

"Sini (Selatan Thai) sudah tidak selamat lagi. Nak duduk kedai kopi 
berbual sambil minum pun rasa takut. Apatah lagi berhimpun di tempat 
ramai. Dulu di mana saja ada perlawanan Tomoi, dialah yang membawa 
kami," katanya sambil menuding jari ke arah kenderaan pacuan empat 
roda miliknya.

Kehebatan seni Tomoi juga menarik minat atlet tinju Kelantan untuk 
mengambil bahagian.

GABUNGAN SENI TOMOI DAN TINJU

Jaguh tinju negara seperti Rakib Ahmad dari Kelantan juga bergiat 
dalam sukan Tomoi.

Beliau pernah merangkul pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia 
(SUKMA), 1994, dan pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi 
pingat gangsa di Temasya Sukan Komanwel 1998, ketika Malaysia menjadi 
tuan rumah kepada kejohanan yang berprestij itu.

Jurulatih tinju kontinjen SUKMA Kelantan, Ramli Hamat, 57, seorang 
pesara tentera yang telah lama berkecimpung dalam arena tinju melihat 
kehadiran regu Tomoi dari Thailand sebagai satu alternatif kepada 
peninju muda untuk menimba pengalaman.

"Tomoi mengutamakan ketahanan fizikal, manakala tinju lebih kepada 
kepantasan menumbuk. Kedua-dua elemen itu boleh digabung bersama ke 
arah mencapai satu matlamat, bergelar juara, demi kecemerlangan masa 
depan sukan tinju," katanya.

Beliau mula memberi tunjuk ajar kepada atlet tinju selepas bersara 
pada 1996. Perubahan mendadak kepada skuad negeri bermula pada tahun 
2003 di mana kesemua lima atlet pimpinannya adalah remaja yang masih 
bersekolah berumur di bawah 18 tahun dan penglibatan awal mereka 
bermula di gelanggang Tomoi.

Malah apa yang lebih memberangsangkan lagi, dua daripada atlet itu 
masing-masing berjaya merangkul setiap satu pingat perak dan gangsa 
bagi kategori 45kg dan 51kg dalam kejohanan SUKMA IX 2006, di Alor 
Setar, baru-baru ini.//Bernama









 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke