PASIR MAS: Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal 
yang mereka naiki dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas (HPM), 
dirempuh kereta dipandu seorang pelajar di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi di Jalan Repek, dekat Kampung Gegeng 
itu, Ismail Awang, 63, (gambar) dan isterinya, Azizah Abdullah, 57, 
mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan seluruh 
tubuh badan.

Pasangan itu yang tinggal di Kampung Banggok Setol, terjatuh dari 
motosikal sebaik dirempuh termasuk diseret sejauh 50 meter oleh 
kereta Proton Wira yang merempuh mereka.

Pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta yang memandu kereta 
terbabit melarikan diri dari tempat kejadian tetapi ditahan polis 
ketika membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas pad jam 8.30 pagi.

Ketika kejadian, Ismail dalam perjalanan untuk menghantar Azizah 
mendapatkan rawatan di HPM yang mengadu demam sejak beberapa hari 
lalu.

Bagaimanapun, kira-kira satu kilometer dari rumah mereka, secara tiba-
tiba sebuah kereta merempuhnya dari belakang menyebabkan pasangan itu 
terjatuh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Halilludin Rahim, berkata polis 
menahan pemandu kereta itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam, ketika 
dia tampil membuat laporan mengenai pembabitannya dengan kemalangan 
itu.

Katanya, pemuda berusia 21 tahun berasal dari Tanah Merah itu, kini 
disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana 
terbabit dalam kemalangan maut.

Difahamkan, pelajar itu disyaki memandu laju disebabkan mengejar masa 
kerana menghadapi pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas 
atas tuduhan berkelakuan tidak sopan dengan pasangannya di Pantai Sri 
Tujuh.

Ketika pendakwaan berlangsung pagi semalam, teman wanitanya yang 
hadir memberitahu mahkamah, pemuda itu tidak dapat tampil kerana 
terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kematian.

Anak sulung mangsa, Mohd Suhaimi, 43, berkata ahli keluarganya 
mengetahui kemalangan terbabit selepas dimaklumkan penduduk kampung.

"Malam kelmarin, arwah berpesan kepada adiknya (ibu saudara) supaya 
menjaga kami empat beradik kerana dia akan menemani isterinya yang 
demam.

"Ayah berkahwin dengan emak tiri (Azizah) sejak lima tahun lalu 
selepas kematian ibu kandung saya. Mereka memang pasangan serasi 
kerana sentiasa bersama ketika keluar ke mana-mana. 

"Arwah ayah dan emak tiri berhajat menunaikan haji tahun depan, 
tetapi hajat itu tidak kesampaian," katanya.//BHarian






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke