TANAH MERAH, 4 Ogos - Biar pun sekolah agama rakyat (SAR) di negeri
lain ada yang terpaksa ditutup ekoran bantuan perkapita dihentikan,
namun di Kelantan keadaan sebaliknya berlaku apabila kerajaan negeri
meningkatkan taraf sekolah tersebut.
Setiap tahun lebih RM40 juta disediakan kepada sektor pendidikan
Islam di negeri ini. Jumlah itu tidak termasuk peruntukan bagi
pembangunan prasarana sekolah.
Contoh terkini, bangunan baru Sekolah Menengah Ugama (Arab)
Rahmaniah, Paloh dekat sini berjaya disiapkan melibatkan peruntukan
sebanyak RM508,800 disumbang kerajaan negeri.
Sekolah itu ditubuhkan pada 1948 sehingga kini berjaya melahirkan
ramai pelajar yang cemerlang, biar pun statusnya sebagai SAR, namun
mendapat bantuan kerajaan negeri.
Di awal penubuhan kelas pengajiannya hanya ditawarkan bagi peringkat
rendah iaitu darjah 1 hingga 6 dan sekarang sudah dipertingkat
sehingga ke tingkatan lima.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata,
kemudahan yang disediakan tersebut bagi membolehkan pelajar belajar
dengan lebih selesa.
"Bangunan, rumah, pangkat, kaya, miskin dan sebagainya merupakan
anugerah daripada Allah S.W.T. Maka kita perlu bersyukur di atas
nikmatNya. Kita tidak boleh bermegah dengan apa yang dimiliki kerana
ia sekadar pinjaman," katanya ketika merasmikan bangunan baru
tersebut, kelmarin.
Sementara itu, Adun Bukit Panau, Abdul Patah Mahood berkata, dengan
siapnya bangunan baru diharapkan prestasi akademik pelajar dapat
dipertingkatkan lagi.
Menurutnya, di Tanah Merah juga sedang dibina Maahad Tahfiz Sains
yang bakal menyemarakkan bidang pendidikan agama di jajahan ini.
Pengarah Yik, Haji Abdul Wahab Awang berkata, selepas tahun 1990,
sekolah agama negeri (SAR) dan maahad (sekolah bantuan penuh) telah
mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar-pelajar.
"Sebelum ini di era tahun 80-an bilangan pelajar yang berminat ke
sekolah agama begitu teruk disebabkan prasarana kurang selesa dan
tenaga pengajar tidak ramai," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Nik
Abdullah Ketua Jajahan Tanah Merah, Haji Azamli Jamaluddin, Penyelia
Parlimen Tanah Merah, Haji Saupi Daud dan pemimpin-pemimpin
masyarakat tempatan serta ibu bapa.//Hrkh
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/