Mahkamah Syariah boleh lulus perceraian tanpa perlu lafaz, keizinan 
suami selepas terima permohonan

KOTA BHARU: Tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan seseorang 
suami menggantung isterinya tanpa bertali dari segi hukum syarak di 
Kelantan, kata Ketua Pendakwa Syarie negeri, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Katanya, seseorang isteri boleh mengemukakan tuntutan perceraian, 
walaupun suaminya enggan berbuat demikian atas alasan tertentu.

Peraturan itu terkandung dalam Seksyen 47 dan 48 Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Bil 6/2002. Ia juga terkandung 
dalam Seksyen 53 (Fasakh) enakmen sama.

Beliau berkata, undang-undang itu diterima pakai dan diseragamkan di 
semua Mahkamah Syariah di seluruh negara.

Katanya, mengikut peruntukan undang-undang itu, Hakim Mahkamah 
Syariah boleh meluluskan perceraian tanpa perlu lafaz dan keizinan 
suami selepas beberapa proses dilakukan antara kedua-dua pihak.

"Proses itu termasuk hakim boleh melantik jawatankuasa pendamai dan 
penasihat bagi menyelesaikan kes tuntutan perceraian yang dikemukakan 
plaintif bagi pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga supaya 
kembali berbaik.

"Jika gagal juga, hakim berhak melantik hakam (orang tengah yang 
dilantik hakim) terdiri daripada mereka yang boleh menjadi orang 
tengah kepada keluarga terbabit sebelum hakim membuat keputusan 
perceraian," katanya.

Beliau diminta mengulas laporan seorang kakitangan kanan kerajaan di 
negeri ini terkejut apabila menerima sijil perceraian yang 
dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas dengan isterinya tanpa 
persetujuan dan melafazkan cerai di hadapan isterinya itu.

Mohamed Fuad Setapa, 50, mendakwa dia menerima sijil perceraian yang 
dikeluarkan mahkamah itu dan membuat laporan polis berikutan rasa 
tidak puas hati terhadap tindakan isterinya, Wan Rahimah Wan Hamat 
yang didakwa memfitnahnya.

Katanya, lebih mendukacitakan lagi sijil nikah itu dikeluarkan ketika 
kes rayuan berhubung tuntutan perceraian itu masih di peringkat 
perbicaraan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Mohamed Fuad mendakwa, permohonan cerai isterinya itu selepas dia 
ditimpa sakit angin ahmar kira-kira dua tahun lalu dan kini masih 
dalam rawatan susulan.

Abu Bakar berkata, peraturan yang terkandung dalam Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam Negeri ini jelas menunjukkan bahawa tiada 
peruntukan peraturan yang membolehkan seseorang suami menggantung 
tanpa bertali syarak terhadap pasangannya dari segi hukum 
syarak.//BHarian






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke