KUALA KRAI, 8 Ogos - Kerajaan Negeri akan mengagihkan bantuan kepada
mangsa ribut yang berlaku sabtu lalu. Penyelia Parlimen Kuala Krai,
Ustaz Zamzuri Mat Lazim berkata, seramai 103 mangsa akan menerima
bantuan tersebut esok yang membabitkan peruntukan sebanyak RM25,000.
Katanya, setiap mangsa akan menerima antara RM100 hingga RM1,200
iaitu bergantung kepada jumlah kerosakan harta benda mereka akibat
ribut malam Sabtu lalu.
"Bantuan itu akan disampaikan di Manek Urai esok hasil kerjasama
kerajaan negeri, Akademi Pembangunan Keluarga Bahagian dan PAS
kawasan bagi membolehkan mangsa-mangsa ribut mendapat bantuan
segera," katanya di sini.
Malam Sabtu lalu, ribut kencang melanda Kampung Manek Urai Lama,
Kampung Lepan Jenut dan Kampung Gajah yang menyebabkan lebih 100
rumah rosak. Turut mengalami kerosakan Masjid Mukim Gajah.
Mengikut bancian yang dibuat jumlah rumah yang rosak di Kampung Gajah
Timur sebanyak 36 rumah, Lepan Jenut (33 rumah) dan Manek Urai Lama
(34 rumah).
Di Manek Urai Lama ada beberapa rumah dihempap pokok kelapa. Banyak
rumah juga tercabut atap. Menurut penduduk angin kencang bertiup
sehingga menggoncangkan rumah ketika mereka sedang menunaikan solat
Isya'.
Bagaimanapun Adun Manek Urai, Mohd Zulkifli Omar dilaporkan baru
membuat semakan untuk menyenaraikan mangsa-mangsa ribut kepada Badan
Perhubungan Umno Kelantan.
"Saya berharap mangsa yang terlibat dapat bersabar," katanya.
Zamzuri berkata, sumbangan yang akan disampaikan esok diagih melalui
setiap mukim adalah bantuan awal daripada kerajaan negeri bagi
membolehkan penduduk membaiki kerosakan yang dialami.
Kata beliau juga, bantuan daripada Serambi Mekah juga akan
dipertimbangkan selepas ini sekiranya ada mangsa yang tercicir
daripada mendapat bantuan awal.
Sementara itu, di PASIR MAS, penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa
ribut akan diadakan lusa yang membabitkan sebahagian daripada 83
mangsa yang disenaraikan.
Penyelia Dun Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad berkata, bantuan itu
diberi bagi meringankan sedikit bebanan dihadapi mereka ekoran ribut
yang melanda beberapa kampung baru-baru ini.
Menurutnya, sebanyak RM15,000 diperuntukan kerajaan negeri bagi
membantu mangsa terbabit yang akan diagih antara RM200 hingga RM1,000
kepada setiap mangsa iaitu bergantung kepada jumlah
kerosakan.//Hrkh
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/