PASIR MAS: Dua murid yang ketakutan melihat rakan mereka lemas 
bertindak menyembunyikan basikal dan pakaian mangsa sebelum lari 
pulang ke rumah di Kubang Batu di sini, petang kelmarin.

Mereka hanya mendedahkan kejadian itu kira-kira empat jam kemudian 
selepas didesak bapa mangsa sebaik menyedari anaknya tidak pulang ke 
rumah selepas waktu Maghrib. 

Mangsa, Mohd Fakrullah, 10, yang juga murid Tahun Empat Sekolah 
Kebangsaan Kubang Chenok kemudian ditemui lemas oleh bapanya, Mohd 
Noor Sulaiman, 50, yang bergegas ke kolam terbiar kira-kira jam 10.30 
malam.

Sebelum itu, mangsa bersama dua rakan sebayanya berbasikal ke kolam 
terbiar terbabit dua kilometer dari rumahnya untuk mandi.

Terdahulu, mangsa yang juga anak kedua daripada lima beradik meminta 
RM1 daripada bapanya untuk keluar makan mi celup di gerai berdekatan 
bersama dua rakan itu kira-kira 4.30 petang.

Mohd Noor berkata, menyedari anaknya tidak pulang sehingga waktu 
Maghrib, dia bergegas mencari sekitar kampung itu tetapi gagal 
menemui anaknya atau basikal yang digunakan.

"Selain mencari sendiri, saya meminta bantuan penduduk kampung untuk 
mencari Fakrullah tetapi tidak berhasil. Selepas itu, saya bergegas 
ke rumah seorang rakannya yang keluar bersamanya.

"Lepas mendesak rakannya itu, barulah dia memberitahu anak saya lemas 
di kolam terbiar ketika mereka mandi bersama petang semalam," katanya.

Beliau berkata, rakan anaknya itu mengaku mereka menyembunyikan 
basikal serta pakaian serta selipar anaknya dalam semak berdekatan 
kerana bimbang mereka akan dimarahi akibat kejadian itu. 

Mohd Noor berkata, berdasarkan maklumat itu, dia bersama penduduk 
kampung bergegas ke kolam terbiar yang dipenuhi rumpai mencari mangsa.

"Ketika mencarinya, saya melihat mayat anak saya yang berseluar 
pendek dalam keadaan tertiarap di dasar kolam yang dalamnya kira-kira 
1.5 meter.

"Saya segera menariknya naik tetapi sudah meninggal dunia," katanya.

Mohd Noor berkata, mayat anaknya dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk 
bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarga dan 
dikebumikan malam kelmarin.//BHarian






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke