KOTA BHARU, 10 Ogos - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra 
(Kias) mencatat satu lagi sejarah apabila diberi peluang 
mengendalikan kursus Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman 
Islam.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberi kepercayaan 
kepada Kias bagi mengendalikan kursus tersebut bagi zon Pantai Timur.

Ketua Eksekutif Kias, Dr Johari Mat berkata, kursus separuh masa itu 
akan dimulakan awal September ini dengan pengambilan seramai 50 
pelajar bagi sesi 2006/2007.

"Kursus ini mengambil tempoh pengajian selama tiga semester iaitu 
setahun setengah. Kelas pengajian akan diadakan pada hari Jumaat dan 
Sabtu.

"Jumlah bayaran yang dikenakan murah berbanding dengan institusi 
pengajian lain iaitu RM1,800 bagi satu semester. Sedangkan institusi 
pengajian tinggi lain sehingga RM12,000 bagi tiga semester," katanya 
selepas majlis konvokesyen Kias bagi kali ke-8 di Dewan Johor, 
Akademi Islam, Universiti Malaya di Nilam Puri, hari ini.

Konvokesyen itu dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul 
Aziz Nik Mat. Seramai 123 graduan peringkat ijazah dan diploma 
menerima sijil pada majlis tersebut. 

Dr Johari berkata, kursus terbabit ditawar kepada pemegang-pemegang 
ijazah sarjana muda syariah untuk melayakkan mereka berkhidmat 
sebagai peguam syarie atau pegawai di mahkamah syariah.

Mengenai pembiayaan pula, katanya Kias mendapat kerjasama daripada 
beberapa institusi kewangan termasuk RHB Bank, Eon Bank dan Yayasan 
Kelantan Darulnaim yang menawarkan pinjaman tanpa faedah.

Menurutnya juga, Kias melantik pendaftar baru pada 16 Mei lalu iaitu 
Dr Yaakub Yusof, 50 bekas pensyarah UiTM Sarawak, anak jati Kelantan. 

Beliau juga berkata, pada tahun ini Kias mengambil lima pelajar dari 
negara China iaitu seorang perempuan dan empat lelaki yang melanjut 
pengajian dalam bidang dakwah.

"Mereka memilih Kias sebagai tempat untuk menyambung pengajian di 
negara ini memandangkan penggunaan pengantarnya dalam bahasa Arab. 

"Selain itu terdapat dua pelajar dari Indonesia, dua Thailand, 
seorang Singapura dan 11 lagi dari Kempuchea. Jumlah pelajar asing 
yang belajar di Kias sekarang seramai 21 orang," ujarnya.

Sebelum itu, ketika berucap Dr Johari berkata, sejak diwujudkan 
sehingga sekarang Kias telah berjaya menghasilkan seramai 684 
graduan. Dan bilangan pelajar yang ada sekarang 780 orang termasuk 
254 pelajar mendaftar Jun lalu.

Menurutnya daripada jumlah pelajar yang ada sekarang seramai 330 
orang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang diadakan 
secara berkembar dengan Universiti Al Azhar dan selebihnya program 
diploma.

Kata beliau, Kias juga menawarkan kursus-kursus untuk orang awam 
iaitu kursus pengajian ilmu qiraat dan tarannum serta kursus seni 
kaligrafi Islam. 

"Sehingga kini kursus tersebut mendapat sambutan menggalakkan 
daripada masyarakat setempat. Objektif utama kursus ini diadakan bagi 
membolehkan Kias turut sama memainkan peranan dalam pembangunan 
ummah," katanya.

Pengerusi Majlis Kias, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kualiti 
kurikulum dan pendidikan yang ditawarkan Kias menjadi tarikan kepada 
pelajar dari rantau Asia melanjut pelajaran ke Kelantan. 

Oleh itu, katanya bagi memantapkan lagi bidang akademik mulai sesi 
2006/2007 Kias menawarkan Diploma Bahasa Arab sebagai tambahan kepada 
kursus sedia ada.

Selain Al Azhar, Kias turut mengadakan kerjasama akademik dengan 
Institut Agama Islam Sultan Thaha Saifuddin Jambi, Indonesia.

Menteri Besar berharap Kias dapat memperluaskan bidang kursus pada 
sesi pengajian akan datang termasuk menawarkan kursus berkaitan 
kewartawanan Islam.

Majlis bersejarah itu turut dihadiri ibu bapa termasuk dari luar 
Kelantan bagi menyaksikan anak-anak mereka menerima ijazah dan 
diploma. Antara mereka termasuk Penyelia Dun Kuala Balah, Mohd Rasyid 
Mat Jais.

Pengacaraannya program itu dilakukan dalam empat bahasa iaitu Melayu, 
Arab, Inggeris dan Cina ternyata berjaya memukau orang ramai yang 
hadir.   

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Razak Salleh dianugerah 
sebagai Tokoh Kehormat Kias 2006. Penerima anugerah Menteri Besar 
pula iaitu Muhammad Najid Abdullah, pelajar sarjana muda syariah.

Manakala penerima anugerah Timbalan Menteri Besar iaitu Abu Husain 
Radzai, pelajar program Diploma Dakwah Wal Qiadah.//Hrkh  

 







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke