GUA MUSANG: "Duit ini akan saya guna untuk mengubatinya supaya cepat
sembuh dan dapat kembali sekolah," kata suri rumah, Palidah Ismail,
32, ketika menerima pampasan RM15,000 daripada Syarikat Takaful
Malaysia Bhd, semalam.
Padilah menerima pampasan itu bagi pihak anaknya, Mohd Ismaridzwan
Zulkifli, 12, murid Tahun Enam yang lumpuh akibat kemalangan jalan
raya sejak Januari lalu.
Beliau berkata, pampasan itu dapat meringankan beban bagi membiayai
perbelanjaan perubatan anaknya yang sehingga kini masih tidak mampu
bergerak.
"Kami orang susah dan tidak berkemampuan berbelanja terutama sejak
Mohd Ismaridzwan terpaksa kerap dibawa mendapatkan rawatan termasuk
di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
"Selama ini, saya sendiri terpaksa bergadai barang kemas untuk tujuan
itu, saya berdoa agar anak kesayangan kami ini cepat pulih dan boleh
kembali ke sekolah," katanya.
Pampasan itu disampaikan Pengurus Cawangan Syarikat Takaful Malaysia
Berhad, Suhaimi Jusoh di rumahnya di Seberang Kampung Lembaga, di
sini, semalam.
Hadir sama pada majlis penyerahan cek pampasan itu Penyelia Hal Ehwal
Murid Pejabat Pelajaran Daerah Gua Musang, Ibrahim Mamat; Penolong
Kanan Hal Ewal Murid dari SK Tengku Muhammad Fakhry Petra, Shamsudin
Hamat dan Pengerusi PIBG sekolah itu, Azmi Zakaria.
Mohd Ismaridzwan ditimpa kemalangan ketika pulang cuti di kampung
keluarganya dekat Pengkalan Kubor, Tumpat pada Januari lalu sambil
berkhatan.
Anak bongsu daripada dua beradik itu dikatakan berada di tepi jalan
hadapan rumah kakak iparnya ketika kemalangan kira-kira jam 12.20
tengah hari apabila dirempuh kenderaan yang terbabas.
Mangsa cedera parah di kepala, patah tengkuk serta luka di kedua-dua
lutut dan betis menyebabkannya dia koma dan terpaksa dirawat di HUSM
lebih sebulan.
Palidah berkata, paling menyedihkan, anak kesayangan itu tidak
berpeluang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hujung
tahun ini kerana keadaannya yang belum sembuh.
Katanya, dia yakin dengan semangat yang diberikan semua pihak
termasuk pakar HUSM yang merawatnya, Mohd Ismaridzwan, boleh sembuh
semula.//BHarian
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/