KOTA BAHARU, 14 Ogos -- Berdasarkan kepada sambutan hebat terhadap
produknya yang berasaskan kelapa iaitu Jelly Kelapa Muda Sri Inai di
Kelantan dan Terengganu, pemiliknya, Razali Mohamad kini mula
mengorak langkah untuk pergi lebih jauh untuk memanfaatkan pasaran
dalam negara sepenuhnya.
Bermula berniaga secara kecil-kecilan, akhirnya bekas tentera berusia
53 tahun itu mendapati makanan yang lazimnya dijadikan pencuci mulut
oleh penduduk Pantai Timur itu berpotensi dipasarkan secara komersial.
"Modal saya kecil sahaja waktu mula berniaga, tidak sampai RM100 bagi
dijual ke kedai-kedai makan sekitar Kota Baharu dan tidak sangka
mendapat sambutan hangat," katanya ketika ditemui Bernama di kilang
memproses jelinya di Kampung Pasir Kota di sini.
Kini Razali merupakan perintis pasaran jeli itu di Kelantan dan
Terengganu melalui syarikatnya Edaran Sri Inai dan kilangnya mampu
mengeluarkan lebih 10,000 bekas jeli sebulan.
Katanya setiap bekas bersaiz 300 gram itu dijual pada kadar harga
RM1.50 sehingga RM1.80 di pasaran.
"Ini semua adalah jasa baik Jabatan Pertanian Kelantan yang
memberikan bantuan modal dengan membina kilang dan memberikan sebuah
mesin pembungkusan kira-kira tiga tahun lalu," katanya.
Beliau berkata untuk memudahkan kerja membelah kelapa, dia telah
mencipta sebuah mesin khas khusus bagi tujuan itu dan telah
membelanjakan lebih RM2,000 untuk mesin itu.
"Dengan mesin ini kami tidak lagi menggunakan parang untuk membelah
kelapa muda dan ini sangat menjimatkan," katanya.
Razali dibantu isterinya Azizah Mat, 48, anak keempatnya Hazliza, 22,
dan tiga pekerja bagi membuat jeli itu dan Razali sendiri turut
bertindak sebagai pegawai pemasaran.
Untuk membuat jeli itu, kelapa muda yang diambil air dan isinya akan
dimasak bersama agar-agar dan kemudiannya dibungkus sebelum
dimasukkan ke tempat sejuk.
Produk itu juga sudah mendapat status halal oleh Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia pada tahun lalu.
Bagi meluaskan pasarannya ke seluruh negara, Razali giat mengikuti
lawatan yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian dan agensi lain ke
luar Kelantan.
"Mana-mana promosi yang diadakan mereka, saya pasti ikut dan kini
sedang mencari agen-agen di seluruh negara bagi tujuan meluaskan
pasaran jeli ini," katanya.
Pengurus kilang, Hazliza berkata pihaknya kini berhasrat untuk
mendapatkan beberapa mesin pembungkusan yang lebih canggih berbanding
sekarang.
Katanya mesin yang ada itu tidak mampu melakukan kerja pembungkusan
lebih daripada 1,000 bekas kerana keupayaan enjinnya yang sangat
terhad.
"Harga seunit boleh mencapai sehingga RM17,000 dan InsyaAllah
syarikat akan berusaha untuk mendapatkan mesin terbabit," katanya.
Mana-mana pihak yang mahu menjadi agen menjual produk itu boleh
menghubungi Razali di talian 019-9870254.//Bernama
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/