PASIR MAS: Dua daripada tiga remaja yang ditahan kerana disyaki minum
arak sanggup mengaku mereka bukan beragama Islam bagi mengelak
dikenakan tindakan ketika serbuan dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Kelantan (JAHEAIK) Pasir Mas, malam kelmarin.
Sebelum kejadian, sepasukan penguat kuasa melakukan intipan 20 minit
di kawasan semak berhampiran sebuah kedai Cina di Kampung Pasir
Parit, Chetok, dekat sini, bagi mengesan mereka yang melakukan
perbuatan terbabit.
Hasil intipan itu, anggota JAHEAIK mendapati beberapa orang sedang
minum arak sebelum mereka menyerbu kedai terbabit pada jam 8.45 malam.
Malah, ada beberapa pemuda kelihatan keluar masuk dari kawasan kedai
berkenaan dengan motosikal dipercayai membeli minuman keras.
Difahamkan, tempat itu dikesan dijadikan `markas' terutama remaja
Islam untuk melepaskan gian ketagih arak kerana kedudukannya yang
dikelilingi semak dan jauh dari rumah orang kampung.
Ketika serbuan, seorang daripada tiga remaja itu panik nekad
melarikan diri dalam kedai berkenaan kerana terkejut tempat mereka
diserbu pihak berkuasa tetapi tindakan lelaki terbabit gagal
berikutan tempat itu sudah dikepung tiga penguat kuasa JAHEAIK
bersama 10 anggota Skuad Amru, Pasir Mas.
Pembantu Pegawai Penguat kuasa JAHEAIK, Pasir Mas, Mohd Ridzuwan
Abdullah, berkata ketika serbuan dilakukan dua remaja terbabit tidak
sempat melarikan diri kerana beberapa anggota Skuad Amru mengepung
kawasan berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit pada mulanya tidak mahu memberi
kerjasama ketika disoal-siasat penguat kuasa dan mereka mendakwa
bukan beragama Islam.
"Ketika ditahan, mereka cuba bercakap dalam bahasa Cina bagi
mengelirukan anggota kami melakukan pemeriksaan serta meyakinkan diri
mereka bukan beragama Islam," katanya.
Mohd Ridzuwan berkata, selepas pemeriksaan identiti dua remaja
terbabit, mendapati mereka beragama Islam.
Katanya, tiga remaja itu berusia lingkungan 19 hingga 28 tahun
kemudian ditahan dan dibawa ke pejabat Syariah Pasir Mas untuk
tindakan lanjut.
Menurutnya, ketiga-tiga remaja itu akan didakwa mengikut Seksyen 5(1)
Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan kerana berkelakuan tidak sopan.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga
RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali,"
katanya.//HMetro
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/