KUALA LUMPUR: Program Perkampungan Hadhari Kelantan 2006 yang akan 
berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini, bertujuan 
memperkenalkan lebih banyak program berbentuk pendidikan dan ilmuwan 
di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, 
berkata penganjur menyediakan pelbagai program menarik bagi menarik 
pengunjung, termasuk pameran Kota Ilmu yang menggabungkan rancangan 
Jejak Rasul dan Ilmuan Islam, terbitan TV3. 

"Pengunjung berpeluang menimba ilmu, sekali gus merapatkan hubungan 
dengan penonton TV3 dan TV9. Ia selari dengan objektif mahu berkongsi 
fahaman mengenai konsep Islam Hadhari dengan penjenamaan imej Islam 
yang sederhana dan progresif," katanya pada sidang media di Sri 
Pentas TV3, di sini semalam. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda dan 
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pameran/NGO Perkampungan Hadhari 
Kelantan 2006, Datuk Zahari Omar.

Perkampungan Hadhari Kelantan akan diadakan sempena lawatan Perdana 
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri itu dijangka 
dihadiri 50,000 pengunjung dan menjadi pameran terbesar di negeri itu.

Perkampungan pada 18, 19 dan 20 Ogos itu dianjurkan bersama Jabatan 
Pembangunan Persekutuan Kelantan, Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), 
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Majlis Kemajuan Kelantan 
(MKK), TV3 dan TV9.

Sebanyak 70 agensi kerajaan dijangka terbabit dalam program 
Perkampungan Hadhari Kelantan itu yang bermatlamat untuk 
mempromosikan keindahan Islam sebagai agama yang universal.

"Kita percaya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, akan 
bersetuju dengan program berkenaan berikutan beliau memahami 
perubahan dalam peredaran semasa yang mana rakyat negeri itu 
memerlukan pendidikan melalui hiburan," katanya.

Annuar berkata, program itu turut mensasarkan pembabitan remaja dan 
golongan muda. 

"Jabatan Pelajaran Kelantan sedia bekerjasama membawa pelajar sekolah 
dalam lawatan berkumpulan sambil belajar," katanya.

Sementara itu Bukhari berkata, pada malam berkenaan TV9 turut 
menganjurkan persembahan bertemakan `Malam Kesedaran' yang disertai 
artis tempatan seperti Mirwana, Saleem, Brothers, Kopratasa dan 
Yassin. Di samping itu, pelakon terkenal Sabri Yunus dijemput 
mengacarakan majlis.//BHarian 







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke