Jabatan Kesihatan Kelantan wujud Jawatankuasa Komunikasi Untuk
Perubahan bagi mengawal pembiakan nyamuk Aedes dalam tempoh seminggu
KOTA BHARU: Sikap pengotor segelintir penduduk yang mengabaikan aspek
kebersihan, termasuk membiarkan air bertakung sehingga menjadi tempat
pembiakan nyamuk Aedes dikenal pasti antara punca peningkatan kes
denggi di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad
Mahir, berkata sehingga 5 Ogos lalu sebanyak 1,000 kes denggi
dilaporkan di negeri ini yang mana 916 kes demam denggi dan 84 kes
denggi berdarah.
"Kes denggi di negeri ini semakin meningkat berikutan sikap penduduk
membiarkan air bertakung sehingga menjadi punca utama nyamuk Aedes
membiak dan seterusnya menjadi wabak penyakit denggi.
"Walaupun langkah memusnah jentik-jentik sentiasa dijalankan, tetapi
sikap penduduk yang mengabaikan aspek kebersihan menyebabkan masih
banyak rumah dikesan positif menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,"
katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Dr Ahmad Razin berkata, Kota Bharu dikenal pasti sebagai kawasan
utama berlakunya denggi iaitu 59 peratus kes dilaporkan diikuti Kuala
Krai (10 peratus); Tumpat (7 peratus); Tanah Merah (6 peratus) dan
selebihnya di daerah lain.
"Daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan, sebanyak 333 atau 33.3
peratus kes sudah disahkan berdasarkan ujian serologi dan sehingga
kini 18 kawasan hitam dikenal pasti iaitu 12 di Kota Bharu dan enam
di Kuala Krai.
"Kawasan hitam di Kota Bharu ialah Taman Tanjung Mas, Kampung Bayam,
Kampung Paya Rambai dan Kampung Bunut Payung disahkan masih berlaku
pemindahan penyakit," katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga menjaga premis perniagaan mereka
menjelang cuti persekolahan yang bermula pertengahan bulan ini kerana
pada waktu itu premis mereka akan dikunjungi pelancong dalam dan luar
Kelantan.
"Peniaga perlu menjaga kebersihan premis mereka, manakala penduduk
memastikan setiap takungan air dibuang bagi mengelak jentik-jentik
membiak menjadi nyamuk Aedes," katanya.
Sementara itu, Dr Ahmad Razin berkata, pihaknya sudah mewujudkan
Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan (Combi) yang diharap dapat
meningkatkan usaha mengawal wabak denggi di negeri ini.
Katanya, penubuhan Combi itu berikutan sikap penduduk yang gagal
membanteras pembiakan jentik-jentik yang bertukar kepada Aedes dalam
tempoh seminggu.//BHarian
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/