54,000 spesies bakau, ru ditanam di empat pulau sekitar Delta
Kelantan bagi mengurangkan kelajuan rempuhan ombak besar
TUMPAT: Kejadian tsunami yang pernah menyebabkan kemusnahan harta
benda dan nyawa di Utara Semenanjung sebelum ini, membuka mata banyak
pihak mengenai kepentingan sistem pemecah ombak dan penghalang
hakisan di tepi pantai.
Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai
pentingnya tumbuhan bakau sebagai pemecah ombak di tepi laut disambut
baik dengan langkah proaktif Jabatan Perhutanan Kelantan.
Jabatan berkenaan sejak beberapa tahun lalu memulakan projek tanaman
bakau di tepi kawasan pantai negeri ini, terutama delta Kelantan yang
berlumpur sebagai projek jangka panjang.
Delta Kelantan terdiri 48 pulau dengan keluasan 1,252 hektar itu
membentuk gugusan kepulauan yang bermula dari muara Sungai Kelantan
dan menganjur ke pantai Seri Tujuh, di Tumpat.
Pesisirnya dipenuhi tanah berlumpur dan berpasir yang membentuk
ekosistem yang sesuai untuk bakau dan ru iaitu spesies tumbuhan yang
sesuai untuk menghalang hakisan dan sebagai pemecah ombak besar.
Setakat ini, empat pulau iaitu Pulau Mas, Pulau Kambing, Pulau Layang-
Layang dan Pulau Tujuh sudah ditanam kira-kira 54,000 pokok bakau
terdiri spesies minyak (Rhizophora Apiculate) dan kurap (Rhizophora
Muconata).
Tumbuhan itu diharapkan dapat mengekalkan hutan bakau sedia ada,
selain menguatkan sistem pertahanan terhadap bencana alam dengan
penambahan tanaman baru itu.
Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Wan Yusoff Wan Ahmad, berkata
tanaman bakau itu dibuat di kawasan habitatnya yang dikenal pasti
kurang kepadatan tumbuhan itu, selain tanaman pokok ru di tepi pantai.
"Setakat ini, hampir 90 peratus tanaman bakau dibuat sekitar Pantai
Tanjung Dat dekat Tumpat membabitkan keluasan 27 kilometer dengan kos
kira-kira RM250,000.
"Kos penanaman bagi setiap satu pokok bakau ialah RM4 dan ia ditanam
pada jarak dua kali dua meter dan hayat setiap pokok kini antara tiga
hingga lima tahun.
"Bagaimanapun, musuh utama bakau ini ialah siput dan ketam. Kita
perlu memantau pertumbuhan pokok itu terutama ketika berusia enam
bulan sehingga dua tahun bagi mengelak musnah kerana gangguan hidupan
sungai itu," katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika membawa pemberita Berita Harian
melawat tanaman bakau di Pulau Dat, Tumpat, kelmarin. Turut serta
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan, Abdullah Sani Shaffie;
Penolong Pengarah Silvikultur Dan Perlindungan, Mohd Rahim Rani dan
Pengawas Hutan Simpan Bakau, Ramli Abdullah.
Wan Yusoff berkata, kajian mendapati tanaman pokok bakau boleh
mengurangkan hampir 50 peratus kadar kelajuan rempuhan ombak besar ke
daratan jika berlaku bencana alam.
"Penanaman bakau bertujuan menahan hakisan ombak, mengekalkan habitat
pelbagai spesies ikan di samping membentuk zon penampan kesan bencana
alam yang boleh berlaku," katanya.
Beliau berkata, projek tanaman bakau itu membabitkan kerjasama Kolej
Universiti Teknologi Malaysia (Kustem) bagi memastikan pantai negeri
ini kekal sebagai tarikan pelancong selain berfungsi sebagai penahan
hakisan.
Katanya, berikutan peristiwa tsunami, program tanaman pesisiran
pantai, terutama spesies bakau menjadi agenda penting peringkat
nasional selepas berlakunya bencana dahsyat itu selaras arahan
Perdana Menteri yang mahukan hutan bakau negara ini dikekalkan.
Mohd Rahim berkata, sejak projek tanaman bakau dimulakan enam tahun
lalu, pihaknya turut menemui beberapa spesies utama tumbuhan hutan
paya delta itu termasuk jetuju dari spesies A illicifous; api-api
jambu (A marina); api-api ludat (A officinalis); api-api bulu (A
lanata) dan buta-buta (Excoecaria agallocha).
Katanya, kepentingan ekologi di tepi pantai itu menjadikan kawasan
hutan bakau turut ditanam pelbagai tumbuhan lain seperti ru yang juga
diwartakan sebagai hutan simpan kekal.
"Sejak tanaman bakau dimulakan dua tahun lalu, setiap pokok setinggi
kira-kira 2 meter itu sudah mengeluarkan benih dan sebaik jatuh dari
pokok induk, benih itu akan menjadi pokok baru," katanya.
Ketika tinjauan Berita Harian ke kawasan muara sungai yang turut
menjadi laluan nelayan berpangkalan di Tumpat itu, mendapati air
pasang.
"Pengawasan rapi petugas Jabatan Perhutanan, setakat ini tiada pihak
yang menceroboh kawasan hutan bakau itu atau individu yang cuba
menebang pokok bakau untuk sebarang tujuan," katanya.
Sementara Abdullah Sani berkata, faktor utama kejayaan penanaman
bakau di Kelantan ialah tanaman tidak menghadapi ancaman pukulan
ombak kuat kerana dilindungi Pantai Laut Rhu Kuala.
"Selain itu, anak pokok yang ditanam tiada masalah gangguan musuh
terutama ketam yang dikenal pasti punca utama tumbuhan itu kerana
hidupan sungai itu gemar makan benih bakau berusia satu hingga tiga
bulan," katanya.
Beliau berkata, masalah utama dihadapi pokok bakau di kawasan itu
ialah rempuhan kayu yang dihanyutkan pada musim tengkujuh dan apabila
banjir berlaku.
Fakta Nombor: Delta Kelantan
48 - Pulau
4 - Pulau ditanam bakau
RM4 - Kos setiap pokok bakau
50 peratus - Kelajuan ombak dikurangkan
//BHarian
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/