KOTA BHARU 16 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas mahukan 
hak guna sama dalam Taman Budaya yang akan dibina di negeri ini agar 
kegiatan yang disusun kelak tidak bercanggah dengan Enakmen Kawalan 
Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, rundingan perlu 
diadakan dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi 
membolehkan kerajaan negeri berkongsi penggunaan kemudahan di taman 
itu.

Pada 7 Mei lepas, Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan 
pembinaan taman berharga RM15 juta itu tahun ini yang dilengkapi 
dengan pelbagai kemudahan seperti teater, pusat sumber, tempat 
latihan dan pentas budaya untuk persembahan kreatif dalam usaha 
memulihara dan mengembangkan seni budaya rakyat tempatan.

"Taman itu boleh dibina dengan syarat kita berunding, bimbang seperti 
Kompleks Sukan Panji yang tidak dapat ditumpang sama oleh orang 
kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat 
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Siti Azizah Abot di Kota 
Darul Naim di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perjumpaan pimpinan kerajaan 
Kelantan bersama 67 sami-sami Buddha negeri itu.

Katanya, perundingan perlu dibuat supaya kerajaan negeri boleh 
mempunyai penguasaan walaupun berkongsi asalkan ia tidak menjadi hak 
autonomi kementerian sepenuhnya sehinggakan kerajaan negeri tidak 
diiktiraf.

"Jika mereka ingin memelihara undang-undang dan maruah sudah tentu 
mereka akan berunding. Soal tapak (bagi taman itu) juga boleh 
dirunding," katanya ketika ditanya sama ada kementerian itu boleh 
membina taman itu tanpa kelulusan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha mengekalkan seni 
kebudayaan dan hiburan yang ada di Kelantan dengan menapis budaya 
negatif selaras dengan tuntutan agama.

"Kita mahu menyediakan bekalan ke akhirat dan memastikan semua kerja, 
tutur kata dan pemikiran tidak bertentangan dengan Islam," 
katanya.//Utusan







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke