BACHOK 20 Ogos – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil 
keputusan muktamad membekukan semua permohonan baru e-diesel yang 
diberikan kepada nelayan setelah terdapat kes-kes menjual diesel 
bersubsidi kerajaan kepada pihak lain.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Annas Khatib Jaafar berkata, dalam tempoh 
Januari hingga pertengahan tahun ini sebanyak 250 kad e-diesel 
seluruh negara dibatalkan selepas mendapati bantuan disalurkan 
kerajaan disalah guna untuk mencari keuntungan lebih.

Sambil menganggap tindakan nelayan terlibat sebagai tidak amanah, 
beliau berkata, LKIM terus meningkatkan pemantauan dan memperketatkan 
peraturan agar salah laku seperti itu tidak berulang pada masa akan 
datang.

"LKIM juga dalam proses melaksanakan peraturan e-darat yang 
memerlukan nelayan melaporkan jumlah hasil tangkapan yang didaratkan 
bagi membolehkan pengesanan dibuat terhadap pembekal minyak subsidi 
yang bertindak licik,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di 
Pangkalan Petah, dekat sini petang semalam.

Pada 15 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun 
Razak berkata, kerajaan setuju mengurangkan beban rakyat termiskin 
daripada kesan kenaikan harga minyak dengan mengumumkan dua kaedah.

Dua kaedah tersebut ialah:

* Pemberian subsidi petrol lebih banyak kepada nelayan pesisir 
pantai; dan

* Subsidi diesel kepada pengusaha bot penumpang di Sabah, Sarawak dan 
Hulu Tembeling, Pahang.

Kini dianggarkan terdapat lebih 25,500 pemilik kad pintar minyak 
subsidi di seluruh negara yang masing-masing terdiri daripada 14,400 
pemegang e-diesel manakala selebihnya adalah pemegang e-petrol.

Secara purata, nelayan yang memegang kad pintar menggunakan 9.65 juta 
liter petrol dan 64 juta liter diesel subsidi setiap bulan yang 
disalurkan oleh kerajaan melalui 177 stesen minyak dilantik.

Di bawah skim subsidi diesel dan petrol tersebut, pemegang kad pintar 
e-diesel dan e-petrol dapat membeli kedua-dua bahan bakar itu pada 
harga RM1 seliter berbanding lebih RM2 harga sebenar.

Annas menambah, peraturan itu juga akan mencegah mana-mana pembekal 
yang dilantik sebagai penjual diesel subsidi menjual bahan bakar itu 
kepada bukan pemegang kad e-diesel.

Beliau percaya terdapat orang tengah bersubahat melakukan 
penyelewengan itu dengan menghasut nelayan yang memperoleh bekalan 
minyak diesel subsidi agar jangan turun ke laut dan menjualnya kepada 
mereka dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Bagaimanapun, Annas berkata, bilangan kad yang dibatalkan itu sangat 
kecil dan masih terkawal berbanding 14,400 kad e-diesel yang 
dikeluarkan kepada nelayan di seluruh negara sejak mula diperkenalkan 
awal tahun ini.

Beliau berkata, sehingga kini LKIM sudah membekalkan sebanyak 490 
juta liter diesel subsidi dengan harga RM1 bagi setiap satu liter 
kepada nelayan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Annas berkata, bantuan kerajaan itu sepatutnya digunakan untuk 
membangunkan industri perikanan dengan meningkatkan hasil tangkapan, 
bukannya mencari jalan pintas menjual minyak dibekalkan untuk 
mendapat keuntungan mudah.//Utusan






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke