MACHANG 20 Ogos Hasrat seorang abang untuk menjadi pengapit kepada
adiknya yang melangsungkan perkahwinan berkecai apabila dia bersama
seorang sepupunya terbunuh dalam kemalangan ngeri di persimpangan
Kampung Pulau Chondong, di sini, petang semalam.
Mangsa, Rosli Omar, 32, dan sepupunya, Zamrizan Sidek, 32, maut
apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan
lain di persimpangan berkenaan.
Menurut jurucakap polis, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 malam
itu seorang lagi sepupu Rosli, Azhari Walang, 28, cedera parah dan
kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.
``Rosli meninggal dunia di tempat kejadian manakala Zamrizan mati
ketika perjalanan ke klinik berhampiran,'' katanya ketika dihubungi.
Jurucakap polis itu berkata, kereta yang dinaiki Rosli bersama
sepupunya bertembung dengan kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari
Kota Bharu ke Machang.
``Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit
untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit,'' katanya.
Beliau menjelaskan, kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Parit
Botak, Batu Pahat, Johor itu dikatakan singgah di Kampung Simpul
Berlubang dekat sini sebelum meneruskan perjalanan ke rumah pengantin
perempuan di Kampung Padang Malar, Pasir Mas.
Sementara itu, adik Rosli, Borhan, 28, berkata kemalangan berkenaan
berlaku beberapa jam sebelum abangnya sampai untuk menjadi
pengapitnya.
Bagaimanapun majlis perkahwinan tersebut tetap diteruskan selepas
Isyak malam tadi biarpun diselubungi kesedihan berikutan tragedi yang
berlaku.
Borhan berkata, Rosli dan Zamrizan sebelum itu hendak ke Perkampungan
Hadhari di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu sementara menunggu malam.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa pula ke Batu Pahat untuk
dikebumikan.//Utusan
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/