Penganggur daftar melalui sistem penjodohan pekerjaan dibangunkan 
sistem bursa buruh elektronik

KOTA BHARU: Kadar pengangguran membabitkan rakyat tempatan, terutama 
graduan universiti semakin meningkat sejak kebelakangan ini sehingga 
membimbangkan pelbagai pihak, terutama kerajaan.

Pengangguran bukan saja menyebabkan generasi muda tidak berpendapatan 
tetap, malah menjadi antara faktor peningkatan kes jenayah dan 
masalah sosial.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kelantan bersama 
Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian menganjurkan Karnival 
Pekerjaan 2006 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar USM, baru-
baru ini.

Lebih 5,000 pencari kerja dari seluruh negeri ini berpusu-pusu 
memohon pekerjaan dalam pelbagai sektor dan ditemu duga secara terus 
oleh 20 majikan yang mengambil bahagian.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), 
Datuk Ismail Rahim, berkata karnival di Kelantan adalah program 
kesembilan jabatan itu bagi menggalakkan rakyat memohon pekerjaan dan 
mendaftar sebagai pencari kerja.

Katanya, selain menawarkan peluang pekerjaan, JTKSM turut mengadakan 
seminar persiapan diri bagi pencari kerja seperti kaedah temu duga 
serta ceramah kerjaya dan kaunseling, kemahiran dan komunikasi.

"Karnival ini bertujuan membantu majikan mendapatkan pekerja lebih 
mudah dan cepat. Pencari kerja pula boleh merebut peluang mengisi 
kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor yang ditawarkan.

"Pada karnival kali ini, sebanyak 1,536 kekosongan jawatan ditawarkan 
dalam pelbagai sektor iaitu 1,342 kekosongan di seluruh negara dan 
194 di Kelantan.

"Mereka yang berminat juga boleh mendaftar sebagai pencari kerja dan 
mendapatkan pekerjaan melalui sistem penjodohan pekerjaan (JCS) yang 
dibangunkan sistem bursa buruh elektronik (ELX) di bawah Kementerian 
Sumber Manusia," katanya.

Perasmian karnival itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk 
Dr Awang Adek Hussin.

Ismail berkata, pasaran kerja ketika ini amat menitikberatkan 
kemahiran dan ilmu pengetahuan sehingga menyebabkan saingan sengit 
sebelum seseorang itu diterima bekerja.

"Pencari kerja bukan setakat tertumpu di Kelantan tetapi seluruh 
negara. Sehubungan itu, mereka perlu sentiasa menimba ilmu, mencari 
seberapa banyak pengalaman dan memiliki kemahiran.

"Ini memberi `nilai tambah' kepada pekerja dan seterusnya memberi 
kelebihan untuk memperoleh pekerjaan yang baik dan setaraf kelulusan 
masing-masing," katanya.

Sementara itu, Dr Awang menasihatkan pencari kerja khususnya graduan 
menganggur supaya jangan terlalu memilih kerja sebaliknya mencari 
seberapa banyak pengalaman sebelum beroleh peluang yang lebih baik.

"Kebanyakan jawatan kosong yang ditawarkan memerlukan pekerja 
mempunyai kemahiran dan pengalaman. Sehubungan itu, mereka perlu 
bekerja mencari pengalaman terlebih dulu sebelum mencari pekerjaan 
lebih baik masa depan.

"Sebenarnya banyak peluang kerja yang ditawarkan terutama dalam 
sektor perladangan tetapi kebanyakan rakyat tempatan kurang berminat 
sehingga menyebabkan majikan terpaksa menggaji pekerja asing," 
katanya.

Pegawai Bahagian Sumber Manusia Mydin Mohamad Holdings Berhad 
(Mydin), Nurashid Sulaiman, berkata karnival itu memberi peluang 
kepada majikan mencari pekerja berpotensi dengan lebih mudah dan 
cepat.

"Mydin misalnya, sentiasa dijemput menyertai karnival ini kerana kita 
memang menawarkan banyak kekosongan jawatan dalam pelbagai jabatan di 
21 cawangan Mydin seluruh negara," katanya.

Pencari kerja, Siti Nor Aini Azhari, 20, dari Pasir Mas berkata, 
karnival ini membolehkannya mencari pekerjaan lebih baik yang 
menjamin masa depan selepas pelbagai usaha dilakukan sebelum ini 
tidak berhasil.

"Sebelum ini, saya sudah beberapa kali memohon kerja melalui iklan 
yang ditawarkan di akhbar tetapi tidak berjaya. Saya berharap 
karnival seperti ini lebih kerap diadakan dengan penyertaan lebih 
banyak majikan," katanya yang ketika ini bekerja sebagai pembantu 
kedai makan.

Rakannya, Mastura Muhammad, 22, dari Pasir Puteh yang bekerja sebagai 
jurujual di sebuah pasar raya di sini, berkata dia sanggup berhijrah 
ke Kuala Lumpur jika ditawarkan peluang kerja yang baik.

"Karnival ini membolehkan kita melihat dan memilih bidang pekerjaan 
yang diminati serta sesuai dengan kelulusan yang kita miliki," 
katanya.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara 
(UiTM) Shah Alam, Mohd Zulkifli Hasan, 27, dari Jalan Telipot, di 
sini berkata, penganjur perlu menjemput lebih banyak majikan supaya 
peluang kerja lebih banyak ditawarkan.

"Program sebegini memang bagus untuk graduan mencari kerja tetapi 
jumlah majikan yang dijemput perlu lebih banyak kerana mereka yang 
memohon kerja terlalu ramai dan persaingan pula sengit," katanya yang 
menganggur selama dua tahun selepas menamatkan pengajian.

FAKTA

Karnival di Kelantan adalah yang kesembilan dianjurkan JTKSM tahun 
ini.

2,498 pencari kerja berdaftar dengan JTKSM melalui lapan karnival 
sebelum ini

125 majikan dari seluruh negara mengambil bahagian

20 majikan di Kelantan

1,536 kekosongan jawatan ditawarkan

194 kekosongan jawatan di Kelantan
//BHarian






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke