KOTA BHARU Bertempat di Perkampungan Hadhari Ahad lalu, disaksikan
puluhan ribu rakyat, dalam suasana meriah, Pengerusi Majlis Kemajuan
Kelantan (MKK), Datuk Seri Annuar Musa menyerahkan kepada Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi resolusi Konvensyen MKK II.
Penyerahan resolusi itu membawa satu lagi harapan besar rakyat kepada
Perdana Menteri selepas impian sebelum ini telah ditunaikannya dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) melalui peruntukan terbesar -
RM7.6 billion yang boleh dijanakan ke arah mencapai status Kelantan
Maju 2015.
Konvensyen MKK II hasil gabungan pemikiran anak-anak Kelantan yang
cakna Sabtu lalu bukan lagi berkisar soal untuk meletakkan negeri ini
sebagai keutamaan dalam pembangunan negara memandangkan hampir
kesemuanya telah dipenuhi.
Sebaliknya ia memberi penekanan khusus kepada soal pelaksanaan projek
di bawah RMK-9 dengan memfokuskan perincian kepada aspek dasar,
perancangan, kewangan, modal insan dan pemantauan agar semua akhirnya
semua pelaksanaan berjalan lancar, menepati sasaran dengan berkesan.
Dalam konvensyen kali kedua itu yang dihadiri lebih 500 peserta itu,
sebanyak lima kertas kerja dibentangkan oleh ahli-ahli panel anak
negeri Kelantan yang terdiri daripada tokoh usahawan, profesional dan
bekas pegawai tinggi kerajaan.
Sebanyak 10 resolusi yang dibahagikan kepada empat kategori utama
iaitu pembangunan infrastruktur, pembangunan wilayah dan koridor
timur, pembangunan modal insan dan pembasmian kemiskinan.
Berhubung rancangan besar kerajaan bagi membangunkan Kelantan,
Terengganu dan Pahang Timur sebagai Koridor Pantai Timur, para
peserta konvensyen meminta supaya Kelantan yang lebih jauh
ketinggalan diberi keutamaan agar boleh mengerak seiring.
Bagi memantapkan rancangan tersebut, polisi perniagaan perlu
ditingkatkan melalui beberapa usaha termasuk menaik taraf Lapangan
Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang antarabangsa,
mewujudkan jaringan jalan raya yang lebih baik di samping
memperbanyakkan zon perdagangan bebas.
Kemudiannya dalam konteks pembangunan infrastruktur, konvensyen turut
menyarankan supaya kontraktor dari Kelantan diberi keutamaan dan
tidak sebagai pemerhati bagi melaksanakan segala projek yang dikenal
pasti selagi ia tidak menjejaskan kelancaran.
Selain itu konvensyen juga mahu beberapa projek diberi keutamaan
khusus seperti Terminal Makanan Negara, penubuhan hub halal serantau
serta Taman Kekal Pengeluaran Makanan kerana ia sejajar dengan
kedudukan negeri Kelantan sebagai sebuah negeri pertanian.
Untuk pembangunan modal insan pula, konvensyen menarik perhatian
kerajaan supaya dapat ditambah bilangan politeknik selain mewujudkan
Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen negeri ini sebagai sokongan
kepada penubuhan universiti awam yang dirancang.
Di samping itu, ia juga menyentuh mengenai keperluan membina kolej
matrikulasi di negeri ini kerana sehingga sekarang masih belum ada
satu pun kolej matrikulasi di Kelantan.
Mengenai aspek membasmi kemiskinan yang sentiasa menjadi fokus utama
MKK, konvensyen kali ini antara lain mencadangkan supaya sistem
penyaluran peruntukan dimantapkan di samping meningkatkan lagi
program pembangunan modal insan di kalangan ketua isi rumah.
Walaupun kali ini hanya 10 resolusi dikeluarkan berbanding tahun lalu
sehingga 59 resolusi, namun soal jumlah bukanlah satu perkara utama
kerana sebagai kesinambungan dari yang lalu, apa yang penting di sini
adalah untuk menentukan fokus seterusnya dalam usaha membawa kemajuan
di negeri Kelantan.
Kali ini jelas, di samping merakamkan penghargaan di atas perubahan
dasar dengan meletakkan Kelantan dalam agenda kemajuan negara
termasuk penubuhan universiti awam, MKK seterusnya mahukan
pelaksanaan segala projek yang dirancang berjalan lancar tanpa ada
gangguan.
Sehubungan itu, bagi menjamin hasrat tersebut tercapai, konvensyen
mencadangkan Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan dengan
dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, bertujuan untuk
menyelaras serta memantau pembangunan yang akan dijalankan.
Dan pada sidang akhbar sejurus menerima resolusi tersebut pada
perasmian majlis penutup Perkampungan Hadhari, Perdana Menteri telah
memberi perkhabaran positif apabila beliau memberi jaminan akan
datang lebih kerap ke Kelantan bagi memantau sendiri segala
pelaksanaan.
Malah pada permintaan-permintaan yang lain, Abdullah sekali lagi
telah memberikan kelegaan buat rakyat Kelantan yang amat menantikan
komitmen padu dari seorang Perdana Menteri apabila beliau berkata:
"Tentu sekali saya akan beri pertimbangan sewajarnya seperti mana
konvensyen lalu yang banyak diambil kira dalam merangka RMK-9.
Pada tahun ini, resolusi yang dikemukakan lebih menjurus kepada soal
pelaksanaan dan saya akui aspek pemantauan ini memang penting,"
katanya.
Aspek pelaksanaan adalah perkara paling kritikal dalam menentukan
kejayaan sesuatu perancangan yang seterusnya membuktikan kesungguhan
kerajaan Pusat dan pimpinan UMNO negeri menunjang kepada membawa
perubahan kepada Kelantan secara menyeluruh.
Ia juga sekali gus bakal menutup mulut mereka yang selama ini menjaja
di pentas politik, menimbulkan keraguan di kalangan rakyat berhubung
keikhlasan Perdana Menteri dengan mendakwa peruntukan RM7.6 bilion
itu hanya lebih permainan politik di kertas.//Utusan
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/