Penduduk Hulu Kelantan daif


5,229 keluarga miskin tegar huni pondok buruk perlu kediaman selesa dilengkap pelbagai kemudahan asas


TERLALU USANG: Pondok buruk tempat Sepiah berteduh.

GUA MUSANG: Meskipun negara sudah 49 tahun merdeka, keluarga miskin tegar yang mendiami pondok buruk atau rumah usang terus menjadi isu di Hulu Kelantan.

Ketika ini, sejumlah 5,229 keluarga miskin tegar di kawasan itu masih menunggu pembelaan kerajaan, khususnya bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan kediaman lebih selesa.

Pelbagai bantuan menerusi Skim Perumahan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) disediakan bagi membantu penduduk meningkatkan taraf hidup mereka.

Menerusi skim ini rumah penduduk miskin tegar dibina atau dibaiki dalam usaha membantu mereka.

Langkah kerajaan itu untuk menyasarkan kemiskinan sifar menjelang 2010 dengan menetapkan kategori penduduk yang mampu hidup berdikari apabila diberi peluang menikmati bantuan termasuk kegiatan ekonomi.

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sendiri akan membelanjakan sebahagian besar peruntukan sebanyak RM149 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tujuan itu termasuk 1,500 penduduk Orang Asli.

Sebelum mencapai sasaran itu, langkah drastik perlu dilakukan segera untuk memberi pemulihan terhadap ramai keluarga miskin tegar yang belum pernah menerima bantuan daripada kerajaan.

Bukan itu saja, keluarga miskin terbabit tidak pernah menikmati kemudahan asas seperti bekalan air paip dan elektrik walaupun berpuluh tahun tinggal di pinggir perkampungan yang lengkap dengan kemudahan berkenaan.

Kedaifan penduduk yang paling teruk dipercayai tercicir daripada senarai penerimaan bantuan kerajaan itu terdapat di Kampung Pasir Tumbuh dekat Bertam dan berisiko tinggi dengan kejadian serangan gajah liar.

Seorang ibu tunggal, Sepiah Senik, 75, ketika ditemui berkata, rumah yang dibina dalam kebunnya di kampung berkenaan sudah musnah diserang gajah lebih dua tahun lalu dan terpaksa tinggal di sebuah pondok usang di tepi jalan.

Katanya, beliau sendiri yang membina pondok itu semata-mata untuk memulakan penghidupan baru yang secara kebetulan pula suaminya meninggal dunia ketika itu.

"Walaupun pembinaan pondok itu hanya mampu untuk menyiapkan sebahagian dinding di hadapan saja dan terbiar di bahagian belakang, tetapi mak cik tetap tabah menghadapi cengkaman kemiskinan itu," katanya.

Sepiah yang mempunyai empat anak yang sudah berumah tangga dan tinggal berjauhan berkata, anak-anaknya juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bekerja hanya sekadar cukup makan untuk isteri dan anak mereka.

"Bagi mak cik, terpaksa mencari sendiri untuk berbelanja termasuk menoreh getah yang hanya memperoleh RM10 sehari, itupun bergantung kepada kesihatan dan jika tubuh tidak sihat tidur di pondok ini," katanya.

Beliau mengharapkan pihak tertentu jika tidak dapat memberi bantuan rumah, sediakan juga kemudahan bekalan elektrik dan air paip bagi mengatasi kesulitan hidup setiap hari.

"Mak cik terpaksa mengangkut air dari anak sungai berhampiran bagi keperluan harian dan terpaksa menggunakan pelita minyak tanah ketika waktu malam yang keadaannya sungguh menyedihkan," katanya.

Bagi, Ibrahim Daud, 63, pula berkata, isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah terpaksa dihantar di kampung kerana bimbang tinggal di sini yang dalam keadaan serba kekurangan dan daif.

Katanya, dia tinggal seorang diri di rumah yang tidak berdinding dan usang selepas beberapa kali diserang beberapa gajah liar termasuk kejadian terbaru akhir tahun lalu.


PUNCA REZEKI: Sepiah menjual tempoyak untuk
mencari pendapatan tambahan.


"Pada masa kejadian kira-kira jam 9 malam itu, pak cik berada di rumah dan sedang berehat selepas solat Isyak dan tiba-tiba beberapa gajah datang menarik dinding rumah.

"Bimbang dengan kejadian yang tidak diingini, pak cik terus terjun dari rumah dan berselindung di bawah pokok kayu di tepi jalan ke Kampung Pasir Tumbuh hingga keadaan rumah rosak teruk," katanya.

Beliau berkata, dia tidak mampu untuk membaiki semula rumah yang rosak itu dan terpaksa tinggal juga di situ walaupun tidak berdinding kerana rumah itu saja menjadi tempatnya berteduh selama ini.

"Kami sudah berbuih mulut menyuarakan rayuan bantuan untuk meringankan beban tanggungan yang dihadapi selama ini, tetapi tidak pernah mendapat sebarang pembelaan yang sewajarnya," katanya.//BHarian

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com __._,_.___


SPONSORED LINKS
Malaysia florist Florist malaysia

Your email settings: Individual Email|Traditional
Change settings via the Web (Yahoo! ID required)
Change settings via email: Switch delivery to Daily Digest | Switch to Fully Featured
Visit Your Group | Yahoo! Groups Terms of Use | Unsubscribe

__,_._,___

Kirim email ke