KUBANG KERIAN, 27 Nov - Prestasi pentadbiran kerajaan Kelantan di 
bawah kepimpinan PAS yang dipimpin Ulama jauh lebih baik berbanding 
di zaman pemerintahan Umno. 

Naib Presiden PAS, Dato' Haji Husam Musa berkata, pencapaian negeri 
Kelantan sepanjang 16 tahun di bawah pentadbiran PAS jauh lebih baik 
berbanding dengan sesetengah negeri yang selamanya diperintah Umno 
walaupun dianggap maju dan membangun.

"Misalnya dari segi kadar kemiskinan tegar Kelantan berada di tangga 
keenam bagi seluruh Malaysia iaitu seramai 3,550 berbanding dengan 
Sabah yang mempunyai bilangan isi rumah miskin tegar paling tinggi 
iaitu seramai 32,297.

"Kemudiaan, negeri Terengganu yang kaya dengan hasil minyak pula di 
tempat kedua tertinggi iaitu seramai 8,300 isi rumah miskin tegar

"Negeri Perak yang dikategori sebagai negeri maju berada di tempat 
ketiga iaitu seramai 5,730 isi rumah miskin tegar, kemudian negeri 
Sarawak seramai 5,243 isi rumah miskin tegar dan negeri Kedah seramai 
4,938 isi rumah miskin tegar," jelas beliau dalam satu program 
ceramah isu-isu semasa dekat sini semalam.

Tambah Husam, dari segi kadar jenayah negeri Kelantan paling rendah 
berbanding dengan negeri-negeri lain, sebagaimana statistik kadar 
jenayah yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Negeri Kelantan.

"Dari segi rasuah dan penyalahgunaan kuasa Alhamdulillah sepanjang 16 
tahun mentadbir tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan negeri 
didakwa dengan kes-kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa.

"Soal pengurusan hutang negeri, walaupun kita dianggap miskin tapi 
tunggakan hutang kita paling rendah iaitu hanya RM1 juta, berbanding 
dengan negeri yang dianggap maju seperti Selangor mengalami tunggakan 
hutang berjumlah ratusan juta, begitu juga negeri-negeri lain 
jumlahnya juga mencecah ratusan dan puluhan juta.

"Malah Kelantan sejak PAS memerintah tidak pernah berhutang dengan 
kerajaan Pusat untuk pengurusan dan bayar gaji, tidak seperti 
setengah negeri yang terpaksa berhutang dengan Pusat untuk bayar gaji 
kakitangan kerajaan negeri,"jelasnya.

Kata Dato' Husam lagi, malah kesalahan paling paling besar bagi Umno 
ialah setelah setengah abad memerintah, masih tidak mampu untuk 
meletakkan Islam sebagai dasar negara, dan paling menyedihkan 
kedudukan Islam dan umat Islam semakin lemah.

"Ini terbukti apabila sehingga ke hari ini kerajaan Pusat masih gagal 
untuk meneyelesaikan isu keruntuhan akidah di kalangan umat Islam, 
ini membuktikan Umno tidak pernah mengambil berat soal gejala murtad 
di kalangan umat,"katanya.

Tambah Husam, apa yang membimbangkan adalah corak pentadbiran Perdana 
Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sangat lemah dan 
ditambah pula dengan cara beliau menguruskan ekonomi negara boleh 
mendatangkan kesan buruk kepada negara.

"Paling membimbangkan kita ialah cara beliau menguruskan wang rakyat, 
dengan kuasa yang ada beliau berjanji untuk memberi RM3 juta kepada 
Umno bahagian seluruh negara semata-mata untuk menutup kelemahan 
pentadbirannya.

"Sekiranya ini benar-benar berlaku bermakna beliau akan membelanjakan 
wang rakyat beratus juta untuk kepentingan parti Umno dan untuk 
pastikan semua bahagian menyokong beliau selaku Presiden parti, 
sedangkan wang tersebut bukan wang parti, ia adalah wang 
rakyat,"tambahnya lagi.//Hrkh


 


Kirim email ke