Penduduk Gual Mekong gembira dapat kemudahan selepas 15 tahun 
bergantung kepada perigi

RANTAU PANJANG: Selepas 15 tahun bergantung kepada air perigi dan 
telaga tiub sebagai sumber kegunaan harian, lebih 200 penduduk Gual 
Mekong di sini, akhirnya menikmati air paip bersih.

Penduduk yang mendiami 41 rumah di kampung itu menerima bekalan air 
bersih berkenaan menerusi Projek Bekalan Air Kementerian Kesihatan 
yang disambung kepada paip Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Projek itu membabitkan peruntukan RM45,100 daripada Kerajaan Pusat 
dengan subsidi kira-kira RM1,100 kepada setiap rumah bagi membiayai 
pemasangan paip dan penduduk hanya membayar RM52 untuk kos 
penyambungan kepada AKSB.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kelantan, Dr Lila P 
Mohamad Meeran, berkata projek itu bertujuan meningkatkan mutu 
kehidupan masyarakat luar bandar sekali gus membanteras penyakit 
bawaan air dan makanan.

"Dua tahun lalu, serangan penyakit bawaan air dan makanan iaitu demam 
kepialu melanda Kelantan dengan penduduk Jajahan Pasir Mas turut 
menjadi mangsa. Projek ini diharap dapat mengelak peristiwa seperti 
itu berulang.

"Sebelum projek ini dijalankan, 25 rumah penduduk bergantung kepada 
sumber air tangki daripada telaga terkawal, manakala 16 lagi 
menggunakan sumber air tidak terkawal.

"Hasil program yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan yang membantu 
membina enam tandas sepanjang tahun ini, 223 penduduk kampung ini 
kini memiliki tandas sempurna," katanya.

Beliau berucap di Perasmian Bekalan Air Sambungan AKSB/KKM yang 
disempurnakan Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Mohd Affandi Yusoff, 
sebagai wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Datuk 
Shaari Mat Husin, semalam. 

Turut hadir Pegawai Kesihatan Jajahan Pasir Mas, Dr Hasbullah Abdul 
Rahman. Sempena majlis itu, Pejabat Kesihatan Pasir Mas turut 
menganjurkan kem kesihatan yang menyediakan pelbagai bentuk 
pemeriksaan perubatan kepada penduduk kampung.

Dr Lila berkata, pihaknya berharap AKSB akan terus memberi kerjasama 
kepada Jabatan Kesihatan negeri ini bagi memasang lebih banyak paip 
air untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk kampung.

Katanya, tanpa kerjasama AKSB, pihaknya perlu mengeluarkan kos 
tambahan kira-kira RM15,000 bagi pembinaan telaga tiub serta tangki 
air untuk menyalurkan air bersih kepada penduduk.

"Namun, berikutan pembiayaan projek ini ditanggung oleh kerajaan, 
kita harap semua penduduk dapat membayar bil air yang dikenakan oleh 
AKSB terhadap penggunaan masing-masing bagi membolehkan mereka terus 
menikmati air bersih ini," katanya.

Wakil penduduk Kampung Gual Mekong, Nasir Mamat, 34, berkata selama 
ini penduduk kampung itu sering hadapi masalah bekalan air terutama 
ketika kemarau kerana air perigi berkeladak.

Katanya, tangki air dengan muatan 400 gelen daripada telaga terkawal 
yang dibina Jabatan Kesihatan kira-kira 14 tahun lalu, sudah usang 
serta tidak mampu menampung keperluan penduduk.

"Selama ini, kadang-kadang bekalan air terbabit tidak sampai kepada 
penduduk yang berada di penghujungnya menyebabkan mereka enggan 
membayar wang yang dikutip bagi menampung kos operasi telaga itu," 
katanya.//BHarian


Kirim email ke