KOTA BHARU, 30 Jan –  Biar pun terpaksa berdepan dengan tuduhan keras 
yang dilemparkan sekumpulan penduduk terhadap kerajaan negeri, namun 
Menteri Besar tetap mempamerkan sikap prihatin dengan menyelesaikan 
masalah mereka.

Sikap keprihatinan tetap dipamerkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz 
Nik Mat ketika penduduk membawa sepanduk bagi mengecam keras kerajaan 
termasuk menuduh sudah korup dan berlumuran dengan rasuah.

Tududan berupa dakwaan itu terkandung dalam memorandum setebal tujuh 
muka surat daripada tuan-tuan tanah bagi tapak pembinaan Pasar Borong 
Bersepadu Wakaf Che Yeh kepada Menteri Besar.

Belum puas hati dengan kecaman keras itu mereka membawa sepanduk yang 
bertulis macam-macam kata-kata kurang sopan antaranya `Rasuah dan 
Penyelewengan Dalam Kerajaan PAS Kelantan dan MPKB' dan `MPKB 
Menzalimi dan Menganiayai Tuan-Tuan Tanah'.

Biar pun begitu kerajaan negeri tetap bersikap lembut dengan 
menyelesaikan segera masalah dihadapi mereka dengan mengarahkan baki 
pampasan bernilai RM2.3 juta bagi pengambilan tanah untuk tapak pasar 
borong itu dijelaskan segera.

Sedangkan situasi seperti itu jarang berlaku di negeri-negeri lain. 
Kebiasaannya keputusan kerajaan tidak memihak kepada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, 
Haji Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil selepas satu 
perbincangan dibuat Menteri Besar dengan anggota Exco dan pegawai-
pegawai kanan kerajaan negeri pagi semalam.

Mesyuarat itu difahamkan diadakan pada hari yang sama berkebetulan 
ketika demontrasi sekumpulan penduduk dianjurkan.

"Pemilik tanah akan menerima baki 25 peratus yang sebelum ini ditahan 
kerana permohonan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar 
Raya Islam (MPKB-BRI) kepada mahkamah agar jumlah pampasan dinilai 
semula," katanya di sini.

Sebelum itu, kira-kira 30 penduduk mendakwa sebagai pemilik tanah 
yang sedang dibangunkan untuk membina kompleks pasar borong bersepadu 
Wakaf Che Yeh berkumpul di hadapan pintu pagar utama Kota Darulnaim.

Mereka juga menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar yang diterima 
Setiausaha Akhbarnya, Mohd Saiba Yaakob.

Takiyuddin berkata, selepas meneliti memorandum sebelumnya, kerajaan 
negeri bersetuju memenuhi tuntutan pemilik tanah terbabit atas dasar 
prihatin terhadap kesukaran mereka.

"Dari segi undang-undang dan peraturan memang kerajaan berhak untuk 
menunggu keputusan mahkamah berkaitan permohonan yang telah 
dikemukakan MPKB-BRI, tetapi bagi menzahirkan rasa prihatin terhadap 
kesukaran yang dihadapi, kerajaan bersetuju supaya permohonan kepada 
mahkamah ditarik balik," ujarnya.

Dengan keputusan itu, pemilik tanah akan mendapat baki 25 peratus 
pampasan masing-masing selepas selesai proses menarik balik 
permohonan mahkamah oleh MPKB-BRI.

Sebelum ini MPKB BRI membawa kes tersebut ke mahkamah memandangkan 
berlaku perbezaan nilaian harga tanah dibuat antara Jabatan Penilaian 
dan Pengurusan Harta (JPPH) yang mentaksirkan sebanyak RM7.039 juta.

Sedangkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) pula 
menilai sebanyak RM9.3 juta. Penilaian itu dibuat terhadap tanah 
seluas 28 lot melibatkan 83 pemilik.

Persoalannya mengapa kedua-dua tafsiran itu berbeza jauh sedangkan 
agensi berkenaan berada di bawah kerajaan Persekutuan.

Ekoran wujud perbezaan itu MPKB membawa kes itu kepada Mahkamah 
Tinggi memandangkan penilaian dibuat JKPTG lebih tinggi daripada 
nilaian asal JPPH.

Malah penduduk sudah mendapat sebanyak RM7.039 juta dan baki yang 
belum dijelaskan menunggu penyelesaikan dibuat mahkamah terlebih 
dahulu.

Ekoran keputusan membayar kesemua baki dibuat, usaha pihak tertentu 
untuk menjadi jaguh dalam isu terbabit tidak kesampaian.//upkn
 


Kirim email ke